- Iklan -
Berita

Capital A rekod untung bersih RM256.2 juta pada suku keempat 2022

Syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM2.48 bilion bagi Tahun Kewangan 2022 berbanding RM2.99 bilion pada 2021, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi

Capital A Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM256.2 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, meningkat ketara berbanding kerugian bersih RM756.6 juta yang direkodkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata, pendapatan syarikat bagi tempoh yang dikaji meningkat kepada RM2.4 bilion berbanding RM821 juta pada tahun sebelumnya.

Namun begitu, syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM2.48 bilion bagi Tahun Kewangan 2022 (FY2022), berkurang berbanding RM2.99 bilion yang direkodkan pada FY2021.

Pendapatannya bagi tempoh ini pula meningkat daripada RM1.84 bilion pada FY2021 kepada RM6.61 bilion pada tahun lepas.

Menurutnya, peningkatan perolehan ini didorong oleh pemulihan aktiviti perjalanan udara.

"Pada suku keempat, 83% pendapatan kumpulan didorong daripada segmen penerbangan manakala 6% pendapatan adalah daripada perniagaan logistik," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

"8% disumbang daripada digital dan perniagaan lain manakala 3% lagi disumbang daripada perniagaan kejuruteraan.”

Sebelum ini, Capital A yang merupakan syarikat induk kepada AirAsia menarik perhatian ramai apabila penumpang syarikat penerbangan tambang murah itu sehingga ke hari ini masih meluahkan rasa tidak puas hati terhadap isu bayaran balik serta pembatalan dan penangguhan penerbangan.

Malah, baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes sendiri terpaksa mempertahankan AirAsia terpaksa mempertahankan AirAsia selepas seorang pengguna media sosial meninggalkan komen dalam ruangan komen akaun Instagram beliau.

Komen itu mendakwa Ask Bo, chatbot terbaru AirAsia sebagai sama dengan AVA yang diperkenalkan pada 2019, serta menasihatkan supaya syarikat itu lebih tumpu perbaiki isu-isu yang lebih penting seperti isu penangguhan penerbangan.