- Iklan -
Berita

Bicara kes saman fitnah Dr Mahathir terhadap Zahid 11 September depan

Difahamkan, seramai tiga orang saksi termasuk Zahid akan memberi keterangan pada perbicaraan berhubung isu "kutty" tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Ahmad Zahid Hamidi (kanan).
Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Ahmad Zahid Hamidi (kanan).

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan empat hari bermula 11 September untuk perbicaraan kes saman difailkan Dr Mahathir Mohamad terhadap Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu "kutty" membabitkan bekas perdana menteri itu.

Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir berkata hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan 11 hingga 14 September ini untuk perbicaraan selain menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes pada 14 Julai.

"Pihaknya akan mengemukakan dua saksi iaitu Dr Mahathir dan anaknya, Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu," kata Mior Nor Haidir ketika dihubungi, selepas pengurusan kes yang berlangsung melalui sidang video hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam Mohd Shahril Madisa, mewakili timbalan perdana menteri itu.

Difahamkan, seramai tiga orang saksi termasuk Zahid akan memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.

Pada 20 Julai tahun lepas, Dr Mahathir, 97, memfailkan saman itu dengan menamakan Zahid, 70, sebagai defendan tunggal.

Dr Mahathir dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Sementara itu, Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos tahun lepas, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.