- Iklan -
Berita

Hasil rundingan pembelian Mysejahtera antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu kesesakan urusan pasport, jaminan sektor pekerja ekonomi gig antara perkara yang akan dibangkitkan hari ini selain Perbahasan RUU Perbekalan 2023.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Perkembangan mengenai perincian hasil rundingan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Syarikat MySJ Sdn Bhd untuk membeli aplikasi MySejahtera antara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) kepada menteri kesihatan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan beliau juga ingin tahu pelan KKM untuk mengoptimumkan penggunaan aplikasi itu.

Turut dibangkitkan adalah persoalan daripada Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada menteri dalam negeri mengenai langkah penyelesaian proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan yang serius bagi urusan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia.

Sh Mohmed ingin tahu sama ada kementerian berkenaan mempunyai cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan pasport secara walk-in (tanpa janji temu) di pejabat imigresen berbanding permohonan menerusi dalam talian dan menghapuskan sistem kuota harian bagi permohonan pasport.

Selain itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) pula meminta menteri sumber manusia menyatakan inisiatif kerajaan membantu pekerja ekonomi gig, selain cabaran dihadapi untuk memberi atau mewajibkan jaminan perlindungan insurans bagi sektor itu.

Selesai sesi soal jawab itu, perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 juga dijadualkan akan berlangsung hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.