- Iklan -
Berita

Persatuan majikan tolak semua jenis pengeluaran KWSP sebelum umur 60 tahun

MEF berkata pengeluaran pada usia 50 dan 55 tahun tidak relevan lagi kerana umur bersara kini pada 60 tahun.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi

Sebuah persatuan majikan berkata ia bukan sahaja menentang sebarang langkah membenarkan lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi juga menggesa syaratnya diperketatkan lagi dengan membenarkan pengeluaran hanya apabila mencapai umur persaraan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan menghapuskan syarat semasa yang membenarkan pencarum mengeluarkan satu pertiga daripada jumlah simpanan apabila mencapai umur 50 tahun, dan pengeluaran lengkap apabila berusia 55 tahun.

Katanya, langkah sedemikian penting bagi memastikan wang rakyat cukup menjelang usia tua.

“Dasar semasa yang membenarkan pengeluaran ketiga selepas 50 tahun dan pengeluaran semua simpanan KWSP pada umur 55 tahun disemak semula.

"Memandangkan umur bersara dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun pada 2013, sudah tidak relevan bagi KWSP untuk membenarkan pencarumnya mengeluarkan simpanan apabila mencapai 55 tahun," kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berulang kali menolak gesaan bagi membenarkan pengeluaran KWSP, di tengah-tengah desakan pelbagai pihak yang mengatakan langkah itu akan membantu meringankan masalah kewangan rakyat susulan pandemik.

Semasa kemuncak pandemik, empat fasa pengeluaran KWSP dibenarkan, mencetuskan amaran daripada dana persaraan itu bahawa sebilangan besar rakyat tidak akan simpanan yang cukup buat hari tua mereka.

MEF berkata ia berharap kerajaan akan mempertimbangkan "cara lain" bagi menangani masalah kos sara hidup, sambil menambah terdapat subsidi yang disasarkan bagi mereka yang memerlukan dana.

"MEF yakin dengan semua pakar dan penasihat dalam kerajaan yang mereka akan buat dasar yang betul untuk membantu golongan yang memerlukan," kata Syed Hussain.