- Iklan -
Berita

Lebih 3,000 doktor kontrak letak jawatan sejak 2017, kata menteri

Antara sebabnya kerana ada masalah tekanan mental, buka klinik sendiri, sambung belajar ke luar negara, kata Dr Zaliha.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Seramai 3,386 daripada 29,548 pegawai perubatan lantikan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) meletak jawatan sejak 2017 hingga 2021, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. 

Beliau berkata ia melibatkan 110 orang pada 2017, 168 (2018), 475 (2019), 511 (2020), 768 (2021) dan 1,354 pada 2022.

“Antara sebab peletakan jawatan lantikan kontrak itu kerana mereka memilih untuk berkhidmat dengan sektor swasta dan badan berkanun lain yang menawarkan gaji lebih menarik.

“Selain itu, ada antara mereka yang membuka klinik sendiri, ada juga yang melanjutkan pelajaran, berhijrah ke luar negara, sebab peribadi dan masalah kesihatan termasuk tekanan mental,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat semalam.

Menjawab celahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) berkenaan kebocoran terhadap aduan buli yang memberi kesan buruk kepada pengadu termasuk tekanan, Dr Zaliha berkata beliau maklum tentang perkara itu yang telah berlaku sekian lama dan membuat penelitian lebih supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Beliau turut menasihati pegawai perubatan berpengalaman (senior) untuk membimbing pegawai perubatan baharu (junior) sebagai rakan pembimbing sekali gus memastikan petugas baharu selesa menjalankan tugas mereka.

Selain itu, Dr Zaliha berkata KKM telah mengemukakan permohonan peruntukan khusus untuk penambahbaikan dan menaik taraf fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan kadar segera memandangkan terdapat 1,200 daripada 3,119 klinik kesihatan KKM telah melebihi usia 50 tahun dan berada dalam keadaan daif serta usang dengan sebahagian besar dibina menggunakan struktur kayu.

“Sebab itu KKM komited untuk mendapatkan peruntukan dalam bajet ditingkatkan kepada lima peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kerana kita lihat kelangsungan pendanaan ini bagi menampung perbelanjaan di fasiliti kesihatan kita,” katanya.

Menurutnya, KKM juga akan membentangkan Kertas Putih Kesihatan yang akan menerangkan asas keperluan pembiayaan dan menggariskan strategi penyampaian kesihatan yang ditambah baik.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas selesai sesi penggulungan, Dr Zaliha berkata beliau menjangkakan Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Jun ini.

Beliau berkata ketika ini pasukan kerja bagi merangka kertas putih itu sedang meneliti dan membuat perbandingan dengan laporan yang sudah dibentangkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung perkara itu.

KKM sebelum ini dilapor menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih perolehan vaksin Covid-19 bagi memastikan ketelusan pelaksanaannya semasa tempoh darurat akibat penularan pandemik.