- Iklan -
Berita

SPRM jangka 3-4 kertas siasatan JanaWibawa siap dalam masa terdekat

Azam Baki berkata SPRM sedang menyiapkan ‘tiga atau empat kertas siasatan lagi’ berkaitan kes JanaWibawa sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat di Putrajaya, 23 Februari.
Logo Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat di Putrajaya, 23 Februari.

Siasatan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa) masih dijalankan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau berkata SPRM sedang menyiapkan ‘tiga atau empat kertas siasatan lagi’ berkaitan kes JanaWibawa sebelum dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Siasatan masih berjalan. Ada beberapa kertas siasatan masih dalam tindakan dan pegawai penyiasat sedang menyiapkan kertas siasatan," katanya ketika ditanya perkembangan siasatan berhubung Jana Wibawa  dalam sidang media mengenai kejayaan Ops Tropicana membongkar sindiket penipuan pelaburan dalam talian, di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin antara suspek dalam isu JanaWibawa, Azam yang enggan mengulas lanjut berkata siasatan masih berjalan dan keputusan akan dibuat Peguam Negara selepas menerima kertas siasatan daripada SPRM.

Muhyiddin dilaporkan sebelum ini mengesahkan memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek Jana Wibawa dan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukannya suspek. 

Beberapa individu termasuk pemimpin politik antaranya bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di mahkamah berkaitan Jana Wibawa.

Program JanaWibawa diperkenalkan ketika pentadbiran Muhyiddin dengan objektif mempercepatkan pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata siasatan terhadap isu pengambilalihan pengurusan Menara KL lengkap dan kertas siasatan dikemukakan kepada peguam negara.