- Iklan -
Berita

Rasional kemasukan pakar perumahan Singapura antara tumpuan Dewan Rakyat

Soalan lain yang akan dibangkitkan adalah mengenai aplikasi media sosial, agensi pengurusan bencana dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pandangan umum menunjukkan pangsapuri kediaman awam Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang baru diduduki di Singapura pada 5 Mac 2018. Gambar: AFP
Pandangan umum menunjukkan pangsapuri kediaman awam Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang baru diduduki di Singapura pada 5 Mac 2018. Gambar: AFP

Isu mengenai rasional kemasukan pakar perumahan Singapura ke Malaysia sedangkan negara mempunyai pakar perancangan bandar tempatan yang boleh dimanfaatkan, antara yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu akan dikemukakan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) kepada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri. 

Pada sesi soal jawab pula, P. Prabakaran (PH-Batu) meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan sama ada kerajaan berhasrat mengkaji semula kebenaran penggunaan aplikasi Telegram, Wechat, Michat dan beberapa aplikasi chat lain yang dilihat banyak pengaruh negatif kepada generasi muda.

Turut tersenarai, soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesediaan agensi pengurusan bencana dalam mendepani bencana alam seperti kes tanah runtuh Batang Kali.

Selain itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai sama ada kerajaan bercadang memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang telah berusia 52 tahun untuk digantikan dengan akta baharu yang bersesuaian dengan zaman kini. 

Persidangan hari ini kemudian diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mengikut kementerian masing-masing.