- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat kecoh ketika menteri pendidikan menggulung

Fadhlina kelihatan tenang dan mampu mengawal celahan bertubi-tubi ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, 23 Februari. Gambar: Bernama
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, 23 Februari. Gambar: Bernama

Sesi penggulungan Titah Diraja oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Dewan Rakyat petang ini kecoh dengan celahan secara bertubi-tubi oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Rata-rata mereka bangun bertanyakan menteri berkenaan mengenai isu-isu pendidikan di kawasan masing-masing termasuk aduan mengenai fasiliti sekolah yang daif dan memerlukan naik taraf dalam keadaan segera. 

Belum masuk lima minit Fadhlina membaca teks penggulungan beliau sudah menerima celahan daripada Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang mempersoal arahan kementerian pendidikan untuk memansuhkan pertandingan dan majlis yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran. 

Wan Saiful bertanya sama ada arahan itu boleh segera dilaksanakan memandangkan tiada pekeliling rasmi dikeluarkan berhubung perkara tersebut. 

Fadhlina menegaskan, pekeliling dan arahan rasmi akan disampaikan sebelum sesi persekolahan tahun 2023/2024 bermula bulan depan. 

Kemudian, celahan dari Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru Roslan Hashim (PN) yang bertanyakan perkembangan mengenai persoalan-persoalan yang dimasukkan dalam ucapan perbahasan Titah Diraja beliau beberapa hari lalu. 

Selepas itu, satu demi satu ahli Parlimen yang lain bertanyakan hal yang sama mengenai pertanyaan dan permintaan mereka dalam ucapan perbahasan tersebut.

Fadhlina bagaimanapun kelihatan tenang dan mampu mengawal keadaan itu. 

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menyebut beberapa perkara yang diputuskan oleh kementerian pendidikan sebelum ini seperti pemansuhan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat termasuk pertandingan pusat keceriaan pusat sumber, tandas tercantik ataupun bilik operasi Sistem Pengurusan Buku Teks (SPBT) terbaik dan seumpamanya. 

Pematuhan itu adalah antara tujuh langkah segera yang diputuskan kementerian bagi mengurangkan beban tugas guru di sekolah dan alan berkuatkuasa bagi sesi persekolahan baru nanti.

Selain itu, kementerian pendidikan turut menetapkan pelantikan pengawas peperiksaan awam dikendalikan Lembaga Peperiksaan (LP) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dibuka kepada individu selain guru. 

"Namun ianya perlu memenuhi kriteria ditetapkan," katanya.