- Iklan -
Berita

Zahid bertugas ikut dasar, prinsip kerajaan Madani, kata Anwar

PM beri jaminan tak ada hasrat ganggu proses mahkamah yang dihadapi timbalannya itu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memuji timbalannya Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menguruskan kerja mengikut dasar dan prinsip kerajaan Madani meskipun sedang berdepan tuduhan di mahkamah berkait kes pecah amanah, 21 Februari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini memuji timbalannya Ahmad Zahid Hamidi (kiri) menguruskan kerja mengikut dasar dan prinsip kerajaan Madani meskipun sedang berdepan tuduhan di mahkamah berkait kes pecah amanah, 21 Februari. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim buat pertama kali memuji timbalannya Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang pemimpin yang menguruskan kerja mengikut dasar dan prinsip kerajaan Madani meskipun sedang berdepan tuduhan pecah amanah di mahkamah.

Bercakap di Dewan Rakyat, Anwar memberitahu terdapat satu situasi di mana Zahid diberikan beberapa dokumen yang memerlukan tindakan segera tanpa tender.

Bagaimanapun, katanya, Zahid mencatat pada dokumen-dokumen tersebut mengatakan, "patuh kepada arahan perdana menteri dan jemaah menteri. Semua mesti ikut proses tender."

"Ini kali pertama saya sebut, saya tak maklum kepada beliau. Saya beri jaminan kepada YB, saya tak ada hasrat ganggu proses itu cuma persepsi mungkin tepat.

"Saya hanya boleh beri jaminan ianya tak akan jejaskan prinsip dan dasar termasuk Madani yang saya terapkan,” kata Anwar ketika menjawab pertanyaan Ahmad Fadhil Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada konsep kerajaan Madani boleh dilaksanakan apabila terdapat individu terkait kes mahkamah dilantik di dalam jemaah menteri.

Mengulas lanjut, Anwar sekali lagi menegaskan pendiriannya tiada tindakan yang boleh diambil hanya berdasarkan pendakwaan sebelum penghakiman dibuat.

Sejak memimpin kerajaan, katanya, beliau terus memaklumkan kepada ketua hakim negara dan peguam negara bahawa Malaysia mesti berdiri tegak atas prinsip undang-undang.

“Kalau saya nampak soal rasuah, penyelewengan, punggah kekayaan saya tak mahu meminta maaf.  Tak ada personal, saya tahu saya dikutuk sebahagian pihak.

“Arahan saya termasuk pagi tadi supaya ambil tindakan tak peduli dari parti saya termasuk dari Keadilan sendiri. Saya tak jamin parti saya bersih,” katanya.