- Iklan -
Berita

SPRM selesai soal Tengku Zafrul

Bekas menteri kewangan itu dipanggil beberapa hari selepas Muhyiddin Yassin memberi keterangan.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama
Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama

Bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Aziz sudah disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), MalaysiaNow diberitahu. 

Difahamkan, Tengku Zafrul yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri ketika ini, dipanggil semalam sebagai sebahagian daripada siasatan yang dikaitkan dengan kontrak yang diberikan di bawah JanaWibawa, program pasca Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera yang mendapat penilaian tinggi yang terjejas akibat wabak itu.

Ini berlaku beberapa hari selepas bekas perdana menteri dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin turut dipanggil SPRM bagi merakamkan kenyataannya.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), berulang kali menafikan salah laku yang didakwa oleh pemimpin PKR dan Umno termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil menyatakan berkata siasatan akan menunjukkan rekod kewangan Bersatu adalah teratur. 

Matlamat utama JanaWibawa adalah untuk mempercepatkan kelulusan projek bagi mengurangkan kesan sekatan pergerakan susulan Covid-19 terhadap sektor pembinaan.

Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan bahawa pada 2020, kementerian kewangan, yang ketika itu diterajui oleh Tengku Zafrul, mencadangkan syarikat yang membida projek di bawah JanaWibawa dinilai oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Cadangan itu bagaimanapun ditolak oleh Muhyiddin, yang berkata adalah tidak wajar untuk PMO menilai syarikat, dan mengarahkan kementerian kewangan untuk memberikan penilaian kepada syarikat yang bersaing bagi mendapatkan kontrak tersebut.