- Iklan -
Berita

Kanak-kanak, remaja berisiko tinggi alami masalah kesihatan mental, kata menteri

Semua pihak perlu bantu sediakan persekitaran harmoni dan sihat demi tumbesaran emosi kanak-kanak dan remaja seperti mendalami ilmu keibubapaan, kata Dr Zaliha.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang murid sedang duduk di ruang legar sekolah, 19 Januari.
Seorang murid sedang duduk di ruang legar sekolah, 19 Januari.

Kanak-kanak dan remaja dikenal pasti antara golongan berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental namun isu berkenaan dilihat masih kurang diberi perhatian.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata hal itu kerana transisi fasa kanak-kanak ke alam dewasa adalah fasa paling kritikal dalam proses perubahan fizikal, kematangan kognitif dan pengurusan emosi sekali gus menyaksikan mereka cenderung untuk rasa keliru dan tersisih apabila tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dalam jaringan sosial. 

“Berdasarkan pemerhatian klinikal, kebanyakan pesakit remaja yang hadir ke klinik telah mula mencederakan diri bagi melepaskan tekanan perasaan yang mereka alami.  

“Tindakan ini akan menyebabkan mereka rasa malu, menyusahkan dan tidak kompeten. Mereka terperangkap dalam masalah sendiri dan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Wad Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja di Kompleks Iris Hospital Permai di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata persepsi ramai bahawa masalah kesihatan mental hanya berlaku kepada orang dewasa sahaja turut menyebabkan isu melibatkan kesihatan mental kanak-kanak kurang diberi perhatian.

“Sebelum pandemik Covid-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan remaja seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental manakala 50 peratus masalah kesihatan mental yang serius bermula pada umur 14 tahun,” kata Dr Zaliha.

Ahli Parlimen Sekijang itu turut mengambil contoh tragedi gempa bumi yang melanda bahagian tengah dan selatan Turkiye dan utara Syria baru-baru ini turut membimbangkan kerana dilihat boleh memberi kesan utama iaitu trauma psikologi kepada kanak-kanak terutama mereka yang kehilangan ibu bapa dan ahli keluarga.

Beliau berkata berdasarkan kajian, trauma yang dialami oleh seseorang boleh memberi kesan kepada genetik dan kemudian boleh diturunkan kepada generasi seterusnya dalam keluarga.  

“Oleh itu, saya merayu kepada semua, terutama ibu bapa supaya lebih peka dengan faktor-faktor yang boleh memberi trauma kepada golongan kanak-kanak.

“Semua pihak haruslah membantu dalam menyediakan persekitaran yang harmoni dan sihat demi tumbesaran emosi kanak-kanak dan remaja seperti mendalami ilmu keibubapaan,” katanya.

Selain itu, anggota kesihatan katanya, sangat digalakkan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu Bantuan Asas Psikologi dalam membantu negara jika berlaku tragedi yang boleh memberi kesan langsung kepada kanak-kanak dan remaja. 

Sementara itu, Dr Zaliha berkata wad psikiatri di Kompleks Iris Hospital Permai mula beroperasi sepenuhnya untuk pesakit kanak-kanak dan remaja sejak bulan lepas, yang merupakan perkhidmatan pertama seumpamanya di Malaysia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.