- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak bantahan Amzad berhubung petisyen pilihan raya calon BN

Mahkamah menetapkan 20 hari untuk perbicaraan petisyen itu bermula 3 April.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim pada sidang media berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pusat Media Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Kuala Terengganu, 31 Oktober 2022. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim pada sidang media berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Pusat Media Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Kuala Terengganu, 31 Oktober 2022. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Kuala Terengganu Amzad Hashim terhadap petisyen yang difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Petisyen pilihan raya tersebut difailkan oleh calon BN Mohd Zubir Embong.

Hakim Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu pada prosiding secara dalam talian selepas mempertimbangkan hujahan daripada kedua-dua pihak pada 30 Jan lepas dan juga hujahan bertulis.

Mahkamah menetapkan 20 hari untuk perbicaraan petisyen itu bermula 3 April. 

Amzad diwakili barisan peguam Wan Rohimi Wan Daud, Saifuddin Othman, Mohd Nasir Embong dan Azrul Rizal. 

Mohd Zubir yang merupakan pempetisyen pula diwakili Mohd Hafarizam Harun, Muhammad Amin Othman, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Haiyan.

Pada 3 Jan lepas, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November lepas, iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa. 

Pada PRU15 lepas, Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang PAS apabila Amzad memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Mohd Zubir.