- Iklan -
Berita

PRN beri gambaran penerimaan rakyat terhadap kerajaan PH-BN

Perhatian dijangka akan lebih tertumpu kepada Umno sama ada mereka mampu menawan semula sokongan pengundi Melayu selepas bekerjasama dengan 'musuh lama'.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan pada deretan bendera parti bertanding di Tambun, 17 November 2022.
Seorang lelaki berjalan pada deretan bendera parti bertanding di Tambun, 17 November 2022.

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam negeri tahun ini dianggap penting kerana ia akan memberi gambaran pertama penerimaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.

Mereka berkata, perhatian dijangka akan lebih tertumpu kepada Umno sama ada mereka mampu menawan semula sokongan pengundi Melayu selepas bekerjasama dengan "musuh lama" selain bergelut dengan isu dalaman parti.

Penganalisis politik dari University of Tasmania Australia, James Chin berkata, antara perkara yang perlu diperhatikan ialah jumlah pengundi Melayu kepada Umno memandangkan ini adalah pilihan raya pertama selepas bekerjasama dengan PH.

"Umno berlawan dengan PH setelah sekian lama dan menarik untuk lihat bagaimana reaksi penyokong kedua-dua pihak," katanya kepada MalaysiaNow.

"Dulu mereka berlawan, sekarang mungkin penyokong PH sanggup memberi sokongan kepada Umno."

BN yang diterajui Umno mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada November tahun lalu apabila hanya mampu meraih 30 kerusi Parlimen, penurunan ketara daripada 74 kerusi yang dimenangi pada PRU14 ketika era pentadbiran Najib Razak.

Daripada 30 kerusi Parlimen yang dimenangi, Umno memiliki 26 kerusi, angka terendah yang pernah dicatatkan dalam sejarah parti Melayu itu.

Namun begitu, Ahmad Zahid Hamidi enggan melepaskan jawatan presiden Umno, sebelum membawa parti itu menyertai kerajaan yang dipimpin oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Langkah ini jelas mendapat tentangan ramai ahli Umno termasuk mereka yang berpengaruh sebelum parti itu mengambil keputusan memecat pengerusi perhubungan Umno Selangor, Noh Omar dan bekas ketua pemuda, Khairy Jamaluddin serta menggantung keahlian Hishammuddin Hussein dan beberapa pemimpin lain.

Menurut Chin, terdapat juga kemungkinan rundingan antara PH-BN, tidak akan mencapai kata putus sekiranya kedua-dua pihak diminta serahkan kerusi kubu masing-masing demi menjamin kemenangan.

"Justeru, ini akan jadi pertandingan terbuka sekali gus memberi gambaran buruk kepada kerajaan Anwar," tambahnya.

Dalam pada itu, Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan Perikatan Nasional (PN) dijangka akan mendapat laluan mudah terutama di kawasan luar bandar memandangkan kemarahan rakyat terhadap jajaran baru politik negara masih belum reda.

Katanya, situasi ini akan menyukarkan keadaan bagi BN-PH untuk menghalang kemaraan PN di PRN akan datang seperti mana berlaku pada PRU15.

"Sudah terang-terang Kelantan, Terengganu dan Kedah akan ditawan PN.

"Persoalannya, mampukah BN-PH halang PN tawan tiga lagi negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan?" soal beliau.

Bagi penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, Umno dilihat seperti tiada pilihan untuk kekal bertanding di kawasan luar bandar memandangkan parti ini dilihat sebagai pilihan terbaik untuk menghalang kemaraan PN.

Katanya, kemungkinan besar DAP dan PKR akan terus kekal di kubu mereka di kawasan bandar, tetapi akan turut memberikan sokongan kepada Umno di kawasan luar bandar.

"Umno adalah peluang tertinggi untuk melawan kemaraan PN di kawasan luar bandar.

"Tetapi mereka akan perlukan segala bantuan yang boleh diterima," katanya.