- Iklan -
Berita

Lebih 300 pegawai polis ditukar kerana masalah disiplin sejak 2018, menurut KDN

Mereka yang terlibat ada masalah disiplin, integriti serta melakukan kesalahan jenayah, menurut kenyataan kementerian.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tiga anggota polis ditahan di Alor Setar, Kedah kerana rasuah berkaitan dadah. Gambar: Facebook
Tiga anggota polis ditahan di Alor Setar, Kedah kerana rasuah berkaitan dadah. Gambar: Facebook

Seramai 339 pegawai polis yang mempunyai masalah disiplin, terlibat dalam proses pertukaran di seluruh negara sejak 2018 hingga Januari lepas.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan daripada jumlah itu, 294 pegawai atau 86.7 peratus ditukarkan ke Semenanjung, 25 pegawai (7.4 peratus) ditukarkan ke Sabah dan 20 pegawai (5.9 peratus) ditukarkan ke Sarawak.

“Pertukaran tersebut dilakukan, kerana didapati pegawai polis yang terlibat mempunyai masalah disiplin dan integriti serta melakukan kesalahan jenayah,” menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai jumlah pegawai polis dari Semenanjung Malaysia yang dipindahkan ke Sarawak atas faktor masalah disiplin.

Menurut KDN antara isu dan kesalahan dilakukan pegawai yang ditukarkan ialah, mempunyai hubungan intim dengan pegawai polis yang telah berkahwin sehingga menganggu keharmonian rumah tangga, ditangkap atas kesalahan berkhalwat dengan pegawai polis yang telah berkahwin, dan terlibat dalam kegiatan dan aktiviti tidak bermoral.

KDN memaklumkan pertimbangan dalam membuat keputusan tersebut mengambil kira dasar dan peraturan pertukaran sedia ada, iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2004 (Panduan Pertukaran Pegawai Awam) yang menjelaskan pertukaran tidak digunakan sebagai hukuman, kecuali ia dapat membantu melicinkan proses tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan.