- Iklan -
Berita

270 mangsa banjir di Tanjung Malim dipindahkan

Semua mangsa dipindahkan ke PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Slim River pada 12.30 tengah malam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang mangsa banjir duduk di pusat pemindahan sementara di Klang, Selangor.
Gambar fail seorang mangsa banjir duduk di pusat pemindahan sementara di Klang, Selangor.

Sebanyak 270 orang daripada 75 keluarga di daerah Tanjung Malim dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Slim River dan Behrang terjejas banjir, tengah malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata 260 orang penduduk dari Taman Permai Slim dan Kampung Balun dipindahkan ke PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan Slim River pada 12.30 tengah malam.

"Seramai 10 orang daripada sebuah keluarga turut dipindahkan ke PPS yang dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah Batu 7, Behrang pada kira-kira 11.30 malam tadi," katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Sementara itu, jurucakap JBPM Perak berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dikerah ke Taman Permai Slim sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.30 pagi.

Katanya, pihak bomba memindahkan 50 orang penduduk menaiki lori tiga tan dan kenderaan utiliti manakala kebanyakannya berpindah sendiri.

Banjir turut dilaporkan berlaku di daerah Batang Padang dengan seorang wanita bersama bayinya dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Samy manakala 53 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang, Tapah.

Pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan pihak polis serta Jabatan Kebajikan Masyarakar memantau lokasi banjir serta PPS.