- Iklan -
Berita

186,000 tenaga kerja asing diperlukan dalam sektor pertanian, kata timbalan menteri

Setakat ini seramai 3,000 pekerja asing didaftarkan menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dibuka semula pada 17 Januari lepas bagi memenuhi kekosongan sektor berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja sedang menyusun pokok mandarin di sebuah kebun di Sungai Buloh.
Seorang pekerja sedang menyusun pokok mandarin di sebuah kebun di Sungai Buloh.

Kira-kira 186,000 pekerja asing diperlukan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam sektor pertanian di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Beliau berkata setakat ini seramai 3,000 pekerja asing didaftarkan menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 yang dibuka semula pada 17 Januari lepas bagi memenuhi kekosongan sektor berkenaan.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkaitan terutamanya Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja yang sedang dialami,” katanya.

Chan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Dialog Industri Agromakanan dan Taklimat Khas Penggajian Pekerja Asing Sektor Pertanian di Putrajaya, hari ini yang dihadiri oleh 400 pemain industri pertanian. 

Menurut beliau menerusi Program Rekalibrasi berkenaan, pihak industri mempunyai alternatif mendapat sumber tenaga manusia untuk bekerja dalam sektor itu dan seterusnya membantu meningkatkan pengeluaran hasil. 

Beliau berkata pengambilan pekerja asing bagaimanapun hanya penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi kekurangan pekerja dalam bidang berkenaan selain tidak mahu pendapatan dari sumber pertanian negara turut terjejas susulan isu tersebut.

“Sebenarnya pengambilan pekerja asing ini bukan objektif utama kita kerana kita nak mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup dan (pendapatan) lumayan untuk menggalakkan penglibatan warga tempatan terutamanya golongan muda dalam pertanian,” katanya.

Terdahulu semasa sesi  berkenaan, Chan berkata beliau menyedari bahawa usaha menjamin sumber tenaga manusia mencukupi penting bagi memastikan hala tuju dah fokus utama kementeriannya dapat diterjemahkan menjadi realiti. 

Katanya penyampaian maklumat yang tepat dan terkini mengenai pengurusan pekerja asing kepada pemain industri sektor pertanian serta tindakan diambil kerajaan amat penting, sebagai persediaan menjadi majikan yang bertanggungjawab.