- Iklan -
Berita

Lagi penumpang antarabangsa AirAsia tak puas hati kerana pembatalan

Penumpang berkata, mereka pernah mengalami perkara yang sama daripada sebuah syarikat penerbangan tambang murah lain tetapi ia tidak menjadi isu memandangkan syarikat itu terus memulangkan kembali wangnya hampir serta-merta.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Krew syarikat penerbangan AirAsia memunggah bagasi penumpang ke dalam ruang simpanan barang sebelum pesawat berlepas, 30 Disember 2020.
Krew syarikat penerbangan AirAsia memunggah bagasi penumpang ke dalam ruang simpanan barang sebelum pesawat berlepas, 30 Disember 2020.

Seorang penumpang AirAsia dari Jerman nekad untuk membalas setiap ciapan yang dimuat naik syarikat penerbangan tambang murah itu di Twitter sehingga menerima bayaran balik tiket penerbangan yang dibelinya sejak lebih enam bulan lalu.

Felicity Wilcox, warga United Kingdom yang menetap di utara Cologne, berkata dia akan terus berbuat demikian sehingga AirAsia memulangkan duitnya berjumlah 103 euro bagi pembelian tiket penerbangan dari Luang Prabang, Laos ke Bangkok Thailand yang dijadual berlepas 30 Ogos 2022.

Bercakap dengan MalaysiaNow, Wilcox berkata, tiket penerbangan itu ditempah pada 23 Jun 2022, bagaimanapun, sebulan kemudian dimaklumkan jadual penerbangannya diubah ke tarikh lain.

Menurutnya, dia juga menerima pilihan bayaran balik yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan itu sekiranya tidak bersetuju dengan perubahan jadual penerbangan tersebut.

"Disebabkan saya bimbang akan terlepas penerbangan seterusnya di Bangkok, maka saya terpaksa mengambil pilihan bayaran balik dan membeli tiket baru bersama Lao Airline," katanya kepada MalaysiaNow.

"Saya dimaklumkan bahawa proses bayaran balik akan mengambil masa dalam tempoh 14 hari, tetapi duit saya masih belum diterima."

Menurutnya, AirAsia menghantar e-mel memaklumkan syarikat itu tidak memberi jaminan tempoh masa bila dia akan menerima duitnya semula.

Marah dengan pemberitahuan itu, Wilcox pendekatan lain dengan membawa perkara ini di media sosial dan membalas setiap posting yang dimuat naik AirAsia bermula September tahun lalu.

Selain itu, dia juga membuat beberapa siri aduan di AVA (chatbot AirAsia) serta menghantar e-mel, namun masih tiada penyelesaian selain diminta tunggu oleh syarikat penerbangan itu.

Usahanya untuk membuat aduan ke Mavcom juga tidak mendatangkan hasil memandangkan penerbangannya tidak melibatkan laluan Malaysia, sekali gus menjadikan ia luar bidang kuasa suruhanjaya itu.

Malah, Wilcox berkata, dia sebelum ini mengalami 10 pembatalan penerbangan bersama sebuah syarikat penerbangan tambang murah lain tetapi ia tidak menjadi isu memandangkan syarikat itu terus memulangkan kembali wangnya hampir serta-merta.

"Ini bukan isu nilai duit yang saya bayar tetapi lebih kepada sikap AirAsia yang tidak beretika.

"Saya akan henti membalas segala ciapan AirAsia sebaik mereka pulangkan duit saya," tegasnya yang juga enggan mengambil bayaran dalam bentuk kredit.

Bagi Elvi Yuliani dari Singapura, duit sememangnya menjadi isu besar memandangkan dia sudah membayar SG$1,327 (kira-kira RM4,324) untuk membeli tiket penerbangan ke Semarang, Indonesia.

Menurutnya, tiket itu dibeli menerusi laman web AirAsia dan  penerbangannya dijadual berlepas bersama Batik Air pada 6 Oktober 2023 dan akan pulang 8 hari kemudian.

Namun, dia menerima e-mel pemakluman daripada AirAsia mengenai penerbangannya itu dibatalkan.

"Selain menghantar e-mel, saya juga menghantar mesej kepada kakitangan AirAsia di LinkedIn, dan membalas komen dalam akaun Facebook dan Instagram AirAsia selain membuat aduan kepada Mavcom dan pihak berkuasa Singapura serta syarikat kad kredit.

"Selepas lima bulan, masih tiada perkembangan baru," tambahnya.

Dalam pada itu Elvi berkata, dia juga membeli tiket penerbangan dengan sebuah syarikat penerbangan tambang murah lain, tetapi penerbangan itu juga dibatalkan.

Tetapi Elvi tidak berasa marah kerana berjaya mendapatkan duitnya semula dalam tempoh dua hari.

Sementara itu, MalaysiaNow masih menunggu maklum balas daripada AirAsia berhubung isu bayaran balik.