- Iklan -
Berita

Kertas putih perolehan vaksin Covid teliti tatacara perolehan, kata menteri kesihatan

KKM akan pastikan sebarang urusan perolehan dilaksanakan dengan lebih teliti, beri manfaat kepada kerajaan, kata Dr Zaliha.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Botol vaksin Sinovac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, 9 Ogos 2021.
Botol vaksin Sinovac di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, 9 Ogos 2021.

Kertas putih perolehan vaksin Covid-19 akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan adalah telus demi manfaat rakyat, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah menubuhkan pasukan kerja bagi merangka Kertas Putih itu susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Jan lepas untuk memberi gambaran secara komprehensif mengenai pengurusan perolehan vaksin Covid-19.

Beliau berkata kertas putih itu akan meneliti tatacara perolehan yang dilakukan berikutan penemuan awal pihak Jabatan Peguam Negara dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjalankan "due diligence" (penilaian wajar) terperinci khususnya terhadap terma-terma perjanjian bekalan vaksin Covid-19 yang telah ditandatangani serta dibuat semasa tempoh darurat.

"Bertepatan dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri juga, KKM akan memastikan sebarang urusan perolehan termasuk perolehan vaksin Covid-19 di bawah kementerian ini dilaksanakan dengan lebih teliti, berintegriti serta memastikan ia mempunyai manfaat timbal-balik kepada kerajaan," katanya.

Pada 8 Februari lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kertas putih perolehan dan kos pembelian vaksin Covid-19 akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang kerana didapati tidak mengikut prosedur serta dilakukan tanpa melalui persetujuan Peguam Negara (AG).

Anwar dilaporkan berkata kertas putih berkenaan akan dibentangkan kerana pada peringkat awal dikesan terdapat ketirisan kerana dipercayai tidak melalui peraturan atau proses yang sepatutnya serta perolehan bagi sesetengah vaksin itu amat diragui dari segi jumlah dan kos yang terlibat.