- Iklan -
Berita

MAIPs dibenar mencelah dalam perintah hak penjagaan tiga anak Loh Siew Hong

Hak itu diberikan mengikut dua peruntukan, kata hakim.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mengambil gambar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Orang ramai mengambil gambar Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mencelah dalam perintah hak penjagaan tiga anak yang diperoleh ibu tunggal Loh Siew Hong.

Bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy telah menukarkan agama ketiga-tiga anak mereka kepada Islam di Perlis.

Keputusan itu disampaikan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah Mehat, See Mee Chun dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam keputusan itu, Hakim Has Zanah berkata berdasarkan dua peruntukan – Aturan 15 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Seksyen 96 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 ia memberikan MAIPs hak undang-undang untuk mencelah.

Beliau berkata isu yang dibentangkan di hadapan mahkamah itu ialah sama ada MAIPS mempunyai hak untuk mencelah bagi mengubah perintah hak penjagaan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi.

“Justeru, tiada keperluan bagi kami untuk memikirkan kesahan atau sebaliknya mengenai penukaran agama kanak-kanak itu,” katanya ketika membenarkan rayuan MAIPS untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 15 Jun tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Evrol Mariette Peters menolak permohonan MAIPs untuk mendapatkan kebenaran menukar perintah hak penjagaan tiga beradik itu selepas mendapati MAIPS gagal menunjukkan bahawa mereka adalah pihak berkepentingan dalam hidup kanak-kanak terbabit.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili MAIPs berkata susulan keputusan hari ini, majlis agama itu akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengubah perintah hak penjagaan dalam petisyen perceraian antara Loh dan Muhammad Nagahswaran Muniandy.

Dalam petisyen perceraian itu, Loh, 35, telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal bagi tiga anaknya iaitu pasangan kembar perempuan berumur 15 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun.

MAIPs memfailkan permohonan untuk mencelah pada 7 Mac tahun lepas bagi membolehkan majlis agama itu mempunyai locus standi (kedudukan undang-undang) untuk memohon mengubah syarat perintah hak penjagaan yang diberikan kepada Loh.

Pada 21 Februari 2022, tiga beradik itu yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Loh juga memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama anaknya kepada agama Islam yang didakwa dilakukan oleh bekas suaminya tanpa persetujuan beliau. Mahkamah Tinggi dijadual mendengar permohonan semakan kehakimannya pada 21 Mac.

Dalam prosiding mahkamah hari ini, Mohamed Haniff berhujah bahawa MAIPs mempunyai kewajipan statutori untuk menjaga kesejahteraan, pendidikan dan bimbingan mualaf serta menawarkan bantuan kewangan daripada dana zakat.

Peguam Loh, A Srimurugan bagaimanapun berhujah bahawa MAIPS tidak sepatutnya dibenarkan untuk mencelah kerana tiada apa-apa rekod yang menunjukkan bahawa Loh akan bertindak bertentangan dengan anak-anaknya atau cuba menukar agama mereka atau dia memerlukan bantuan kewangan.