- Iklan -
Berita

Belum bincang tentang niat bekas ahli Umno sertai PH, kata Zahid

Ia susulan kenyataan Anwar semalam yang mahu bincang dengan Umno tidak lama lagi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Tiada sebarang perbincangan diadakan setakat ini dengan Pakatan Harapan (PH) berhubung hasrat beberapa bekas ahli Umno untuk menyertai gabungan itu, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Setakat ini belum dibincang dengan saya lagi,” katanya mengulas laporan PH akan berbincang dengan Umno mengenai hasrat bekas ahli Umno untuk menyertai gabungan itu.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (MTVET) Bil 1/2023 di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim dilaporkan berkata PH belum lagi membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima beberapa bekas ahli Umno yang telah menyuarakan hasrat untuk menyertai gabungan itu. 

Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan dengan pemimpin Umno tidak lama lagi sebagai menghormati parti itu yang merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Pada 27 Januari lepas, Umno memecat 44 ahlinya termasuk bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin di atas pelbagai kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas.