- Iklan -
Berita

PN gesa PH tunaikan janji, peruntukan sama rata ahli Parlimen

Ini selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mana gabungan itu akan menyediakan peruntukan pembangunan sama rata kepada semua wakil rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan.
Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan.

Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji bahawa peruntukan pembangunan akan diberikan sama rata kepada semua ahli Parlimen merentasi parti sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata ini selaras dengan tawaran Pakatan Harapan (PH) sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mana gabungan itu akan menyediakan peruntukan pembangunan sama rata kepada semua wakil rakyat.

“Sebelum ini peruntukan tersebut pula disalurkan terus kepada pusat khidmat ahli Parlimen melalui Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

“PN mengharapkan kerajaan Persekutuan khususnya perdana menteri yang juga menteri kewangan mengutamakan kepentingan rakyat dan mengurangkan unsur-unsur seumpama deraan dan balas dendam kepada pihak Pembangkang yang menerima mandat yang sah daripada rakyat melalui saluran demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin turut memetik Tawaran Harapan yang mana PH akan menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira parti kerana mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan itu. 

Selain itu, tawaran itu turut menyebut, peruntukan dana juga perlu disalurkan melalui Parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Sementara itu, Takiyuddin berkata PN memandang berat kenyataan perdana menteri yang mengesahkan peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen akan dikurangkan sebanyak 65% tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, meskipun kerjaan dikatakan mengambil langkah mengawal kewangan selaras dengan kedudukan dan kekangan ekonomi negara, namun peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui ahli Parlimen yang memberikan manfaat serta faedah terus kepada rakyat tidak sepatutnya diganggu.

Semalam, Anwar mengesahkan bahawa peruntukan tahunan kepada ahli Parlimen dikurangkan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.