- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak pelepasan kekal pasport Zahid

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagaimanapun membenarkan pelepasan sementara pasport Ahmad Zahid Hamidi untuk beliau memohon pasport diplomatik.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan pelepasan sementara pasport Ahmad Zahid Hamidi untuk beliau memohon pasport diplomatik bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi. 

Bagaimanapun, hakim DCollin Lawrence Sequerah menolak permohonan timbalan perdana menteri supaya pasportnya dikembalikan secara kekal kepada beliau, bagi membolehkan beliau menjalankan tugas.

“Ini adalah permohonan pihak pendakwaan yang saya bersetuju bahawa tertuduh (Zahid) berhak mendapat semula pasportnya bagi tujuan memohon pasport diplomatik dan selepas itu pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah.

“Permohonan pemohon supaya pasportnya dilepaskan secara kekal ditolak,” kata hakim.

Pada 26 Januari lepas,  Zahid memohon untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.