- Iklan -
Berita

Pendakwaan tarik balik rayuan lucut hak wang RM21.7 juta daripada Umno Pekan, 10 entiti lain

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar berkata wang yang dirampas akan dikembalikan kepada responden.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Jalur Gemilang berkibar di luar pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya. Istana kehakiman menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama
Jalur Gemilang berkibar di luar pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya. Istana kehakiman menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan hari ini menarik balik rayuannya untuk melucut hak wang berjumlah RM21.7 juta milik 11 entiti dan individu, termasuk Umno Pekan dan Badan Perhubungan Umno Johor, yang didakwa ada kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (IMDB).

Yang lain ialah daripada Jakel Trading Sdn Bhd, Jakel Trading, Barisan Nasional bahagian Johor Bahru, Mediaedge CIA Malaysia Sdn Bhd, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, pengarah firma penyelidikan Sim Sai Hoon, AGA Touch Malaysia Sdn Bhd, Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (Yayasan PBAKM) dan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Kasitah Gaddam.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa pihak pendakwaan menarik balik rayuannya terhadap 11 responden.

Notis pemberhentian rayuan difailkan pada 27 Januari.

Kamal Bahrin juga memberitahu mahkamah bahawa wang yang dirampas akan dikembalikan kepada responden. 

Kamaludin Md Said yang bersidang bersama  Abu Bakar Jais dan Supang Lian, kemudian membatalkan rayuan itu.

Pihak pendakwaan tidak berjaya di Mahkamah Tinggi untuk melucut hak RM700,000 daripada Umno Pekan, RM100,000 daripada Yayasan PBAKM, RM628,314 daripada Jakel Trading, RM10,747,042.77 daripada Jakel Trading Sdn Bhd, RM677,872.55, daripada Badan Perhubungan Umno Johor, RM957,395.65 daripada Barisan Nasional Johor Baru.

Mahkamah Tinggi yang berasingan juga menolak rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak RM100,000 daripada Kasitah, RM3 juta milik AGA Touch (M) Sdn Bhd, sebuah firma IT, RM41,261.64 daripada Sim, pengarah firma penyelidikan Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, RM188,138.26 daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak dan RM4,631,602 daripada Mediaedge CIA.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 28 Mac untuk mendengar rayuan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan keluarga bekas Ahli Parlimen Paya Besar dan Ketua Umno Bahagian Abdul Manan Ismail.

Ini bagi membolehkan mereka memfailkan representasi masing-masing kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berikutan keputusan pihak pendakwaan untuk menarik balik rayuannya bagi 11 kes itu.

Kamaludin, yang mengetuai panel hakim itu, berkata perlu ada konsistensi memandangkan pihak pendakwaan menarik balik rayuannya bagi 11 kes tersebut.

Beliau kemudian mencadangkan supaya peguam bagi ketiga-tiga kes itu mengemukakan representasi mereka kepada AGC. 

Hakim itu kemudian memerintahkan ketiga-tiga pihak ke peringkat pengurusan kes.

Pengurusan kes kemudiannya diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk pendengaran ketiga-tiga rayuan itu. Beliau juga memberi tempoh sehingga 10 Februari kepada pihak-pihak untuk mengemukakan representasi mereka kepada AGC.

Tiga Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak wang berjumlah RM2.1 juta daripada Badan Perhubungan MCA Pahang, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan keluarga Abdul Manan.

Empat belas kes hari ini adalah antara 41 entiti yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha mendapatkan semula aset yang dikatakan dibayar menggunakan dana 1MDB.