- Iklan -
Berita

Umno pecat KJ, Noh, gantung 4 pemimpin tertinggi

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi malam ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama
Bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama

Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor Noh Omar dipecat kerana melanggar disiplin parti sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi malam ini.

MT juga menggantung Ahli Parlimen Sembrong dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Shariff dan Ketua Umno Tebrau Maulizan Bujang.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata 42 ahli Umno dari Johor, Pahang, Selangor dan Putrajaya juga dipecat atas pelbagai kesalahan, termasuk kerana bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum.

Terdahulu Noh, yang juga sebahagian daripada ahli MT, bertindak keluar daripada mesyuarat dan memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau meminta dipecat. 

Beliau berkata tiada gunanya beliau digantung selama enam tahun, sambil menambah beliau sudah berjuang untuk Umno selama lebih empat dekad. 

Difahamkan, Noh yang digugurkan daripada mempertahankan Parlimen Tanjong Karang pada pilihan raya lepas, dilemparkan dengan 16 tuduhan "sabotaj" parti semasa kempen PRU15 baru-baru ini.

Langkah terbaharu itu dibuat hanya dua minggu selepas usul kontroversi melarang sebarang cabaran terhadap Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno bulan ini.

Khairy menyifatkan keputusan itu sebagai tidak demokratik dan "gila".

Keputusan malam ini juga menutup harapan Khairy mencabar Zahid untuk jawatan presiden.

Kali terakhir beliau menentang Zahid untuk jawatan presiden Umno adalah pada 2018, tetapi berada di tempat kedua dalam pertandingan tiga penjuru yang turut melibatkan pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah. 

Khairy adalah antara beberapa pemimpin kanan Umno yang menggesa peletakan jawatan Zahid berikutan prestasi terburuk parti itu dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan presiden Umno itu membawa 30 Ahli Parlimen dari Barisan Nasional untuk menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. 

Dalam langkah mengetepikannya, Khairy dipindahkan dari kerusi Parlimen Rembau, dengan timbalan Zahid, Mohamad Hasan dinamakan sebagai calon menggantikannya – memastikan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mendapat tempat di Dewan Rakyat. 

Semasa berkempen untuk kerusi di Parlimen Sungai Buloh, Khairy juga secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden Umno, sambil menambah bahawa parti itu sudah hilang arah dan harus "diperbaiki".