- Iklan -
Berita

Tidak terkejut jika dipecat Umno, kata KJ

Ia selepas presiden Umno itu mengumumkan akan melakukan 'pembersihan besar-besaran' untuk menyingkirkan mereka yang mensabotaj parti.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama
Bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Kuala Lumpur, 12 Januari. Gambar: Bernama

Khairy Jamaluddin tidak terkejut jika beliau akan menjadi antara individu yang bakal dipecat daripada parti sama seperti beberapa pemimpin veteran lain yang menentang Ahmad Zahid Hamidi.

Ia selepas presiden Umno itu mengumumkan akan melakukan "pembersihan besar-besaran" untuk menyingkirkan mereka yang mensabotaj parti.

Khairy mempersoalkan proses mengambil tindakan terhadap ahli parti, memetik kes Ketua Umno Bahagian Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang digantung kerja selepas beliau lantang menentang kepimpinan Zahid.

“Kalau soal disiplin ini, prosesnya haruslah melalui Lembaga Disiplin, tetapi di bawah MT sudah ada banyak keputusan yang unilateral,” kata Khairy dipetik Utusan Malaysia.

“Jadi saya tidak terkejut jika saya tidak dirujuk dan mereka bangkitkan isu saya serta rakan-rakan yang lain,” katanya sambil menambah beliau masih belum menerima sebarang surat daripada lembaga disiplin.

Khairy dipindahkan dari kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya November lalu, dan sebgai menggantikannya Zahid menamakan timbalannya Mohamad Hasan sebagai calon.

Ia bagi memastikan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu diberi jaminan tempat di Dewan Rakyat.

Tindakan itu dilihat sebagai rancangan Zahid untuk mengetepikan Khairy yang menjadi antara pengkritiknya lantang.

Semasa berkempen untuk kerusi Sungai Buloh, Khairy juga secara terbuka mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden Umno, sambil menambah bahawa parti itu sudah hilang arah dan harus "diperbaiki". 

Beliau juga antara beberapa pemimpin kanan Umno yang menyelar tindakan Zahid untuk menyokong pemimpin PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri berikutan Parlimen tergantung pada pilihan raya umum baru-baru ini. 

Semalam, Zahid mengulangi ikrar yang dibuatnya dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini untuk melaksanakan "pembersihan besar-besaran", menyasarkan mereka yang dikatakan mensabotaj parti dan termasuk orang yang menembak kaki sendiri (sabotaj diri sendiri).

“Yang belum terasa insya-Allah malam esok akan terasa,” katanya kepada pemberita semalam menjelang mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini. 

Zahid bagaimanapun enggan menyatakan sama ada tindakan itu akan melibatkan Khairy, sambil berkata ia adalah sebahagian daripada "strategi". 

“Jadi saya harus ‘embargo’ maklumat ini sehingga tiba waktunya.”