- Iklan -
Berita

Kartel tiket kapal terbang punca kos umrah naik?

Situasi itu dikesan berlaku sejak lima tahun lalu membabitkan jualan tiket daripada beberapa syarikat penerbangan yang terkait dengan penerbangan umrah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Jemaah umrah menunggu waktu bagi menunaikan solat di depan Kaabah di Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi.
Jemaah umrah menunggu waktu bagi menunaikan solat di depan Kaabah di Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi.

Penjualan semula tiket kapal terbang ke Mekah dan Madinah pada harga yang lebih tinggi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dikesan sebagai antara punca kos umrah semakin meningkat, kata pemain industri.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) Razali Mohd Sham berkata, situasi itu dikesan berlaku sejak lima tahun lalu membabitkan jualan tiket daripada beberapa syarikat penerbangan yang terkait dengan penerbangan umrah. 

Katanya, agen-agen tertentu akan membeli tiket ke tanah suci Mekah itu secara borong daripada pihak syarikat penerbangan sekali gus menghalang agensi-agensi umrah membeli tiket itu daripada syarikat penerbangan.

Katanya, pihak yang tidak bertanggungjawab itu kemudian menyimpannya untuk satu tempoh masa tertentu sebelum menjualnya semula dengan harga hampir sekali ganda.

"Mereka akan menjualnya pada minit-minit terakhir pada harga yang tinggi,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Menjelang Februari ini pun mereka sudah membuka jualan tiket sedikit demi sedikit.”

Harga pakej umrah dijangka mencecah RM10,000 seorang dalam masa terdekat, naik daripada kira-kira RM8,000 seorang sekarang.

Menurut Razali, agensi pelancongan mendapati tiket-tiket untuk ke Mekah dan Madinah tidak boleh dibeli menerusi sistem syarikat penerbangan kerana difahamkan sudah dibeli dengan lebih awal.

Namun pemeriksaan pihaknya mendapati, ada penerbangan ke Mekah atau Madinah yang hampir kosong walaupun sistem tiket menunjukkan tempat duduk sudah dibeli.

"Katakan ada 70,000 tempat duduk untuk dijual. Mereka membeli kira-kira 50,000 tempat duduk.

“Jadi, hanya ada 20,000 tempat duduk yang tersedia dalam pasaran," katanya.

Menurut Razali, pihaknya bertemu dengan kementerian pelancongan, seni dan budaya baru-baru ini bagi membincangkan masalah itu.

Tambah beliau, perjumpaan turut dilakukan dengan syarikat penerbangan namun tiada tindakan lanjut diambil.

Katanya, sistem pembelian tiket untuk tujuan umrah perlu dinaik taraf.

"Sepatutnya mereka meletakkan syarat pembelian tiket perlu disertakan dengan nama penumpang. Jika tiada nama, tiket tidak boleh terjual," katanya.

Sebagai rekod, jemaah umrah dari Malaysia yang menunaikan umrah di dua kota suci itu dianggarkan hampir 300,000 orang setiap tahun.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan sektor umrah di Malaysia terus berkembang walaupun kos untuk mengerjakan ibadah itu meningkat.