- Iklan -
Berita

Sektor RM3 bilion pengurusan umrah terus berkembang walaupun kos meningkat

Industri pengurusan haji dan umrah dijangka terus berkembang biarpun kos penerbangan dan penginapan meningkat.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Jemaah umrah menunggu untuk menunaikan solat di depan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.
Jemaah umrah menunggu untuk menunaikan solat di depan Kaabah di dalam Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi.

Industri pengurusan haji dan umrah di Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan walaupun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19, dengan jumlah jemaah umrah sahaja meningkat sebanyak 900% dalam tempoh hanya 25 tahun.

Umrah adalah ibadah sunat yang boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun. 

Sementara haji pula merupakan rukun Islam kelima dan wajib dilakukan oleh umat Islam yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan Umrah dan Haji, Razali Mohd Sham berkata bilangan jemaah umrah yang direkodkan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah berjumlah 290,000 orang.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 900% berbanding 30,000 jemaah dicatatkan pada 1998.

Pelaksanaan PKP yang bertujuan mengekang penularan Covid-19, mengakibatkan sekatan perjalanan dan penutupan pintu sempadan negara selama kira-kira dua tahun, bermula 2020 hingga 2022.

Pada 2019 iaitu tahun terakhir sebelum pandemik, kira-kira 2.6 juta orang mengerjakan haji.

Pada 2020 dan 2021, Arab Saudi hanya mengehadkan ibadah tersebut kepada penduduk di negara itu sahaja sebelum membenarkan sejuta jemaah haji luar negara pada 2022.

Pembukaan semula pintu sempadan yang ditunggu-tunggu selama ini menyaksikan kenaikan mendadak kos penginapan dan penerbangan ketika agensi di seluruh dunia tidak menang tangan mendapatkan tempahan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Razali menganggarkan kos mengerjakan haji pada 1992 adalah kira-kira RM1,800.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun kos mengerjakan haji meningkat pada kadar RM7,000.

Mengikut jumlah jemaah, perniagaan pakej umrah mencatatkan pendapatan bernilai kira-kira RM2 bilion, manakala pakej haji pula menyumbang RM800 juta lagi setahun untuk 10,000 jemaah yang tidak berdaftar dengan Lembaga Tabung Haji.

Razali berkata pertubuhannya mempunyai hampir 1,000 pengendali aktif yang menawarkan pakej umrah dan haji. 

Pakej umrah yang ditawarkan berharga dari RM7,000 hingga RM30,000 seorang.

Walaupun harga yang ditawarkan kadangkala tidak masuk akal, namun umat Islam akan berusaha untuk menjejakkan kaki ke tanah suci, Mekah dan Madinah. 

Malah generasi terdahulu sanggup menjual tanah dan harta bagi mengerjakan haji.

Ia menjadi antara faktor utama di sebalik pembentukan Tabung Haji, di mana kerajaan akan memberi subsidi bagi menanggung sebahagian daripada kos haji.

Tabung Haji baru-baru ini mengumumkan peningkatan kos mengerjakan umrah adalah disebabkan kenaikan tambang penerbangan dan kos penginapan hotel.

Terdapat juga cukai nilai tambah yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi, yang kini berjumlah 15%.

Namun, jumlah jemaah yang mahu ke Mekah tidak pernah surut.

Pengarah urusan sebuah agensi pelancongan umrah dan haji, Mohd Zawawi Yusoh menganggarkan lebih separuh daripada jemaah adalah mereka yang pernah mengerjakan haji sebelum ini.

“Kajian dilakukan di Arab Saudi mendapati, jemaah yang pertama kali menunaikan Haji hanya 40%.

“Selebihnya berulang kali, walaupun harga pakej bertambah,” katanya sambil menambah ia disebabkan kesedaran mengenai ibadat haji membuatkan orang sanggup pergi.

"Kos hanya memberi kejutan. Tetapi ia tidak mengurangkan permintaan."

Zawawi juga berkata trend terbaru muncul di mana jemaah umrah akan membawa keluarga mereka bersama, menjadikan Mekah dan Madinah sebagai destinasi percutian pilihan.

Terdapat juga perkembangan lain dari segi kelayakan yang ditawarkan institusi pendidikan dan agama.

Institut Profesional Baitulmal, di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan misalnya, kini menawarkan diploma dalam Pengurusan Haji dan Umrah.

Zawawi berkata graduan program ini menggantikan ramai pekerja Indonesia yang sebelum ini diupah agensi pengendali umrah tempatan.

Dalam pada itu, Razali menjangkakan lebih banyak agensi akan berkembang tahun depan.

“Sekarang pun sudah banyak lesen baru yang dikeluarkan,” katanya.

“Ada syarikat yang masih baharu namun mampu untuk pecut laju (dari segi jualan) kerana mereka ada sistem IT (teknologi maklumat) yang canggih.