- Iklan -
Berita

Kos haji naik: Putrajaya bincang dengan pengendali hotel di Mekah, Madinah

Ini kerana kenaikan kadar hotel di Mekah dan Madinah adalah di luar kawalan kerajaan Arab Saudi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam membanjiri perkarangan Masjidil Haram selepas menunaikan solat Maghrib.
Umat Islam membanjiri perkarangan Masjidil Haram selepas menunaikan solat Maghrib.

Kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji akan mengadakan perbincangan dengan pengendali hotel di Mekah dan Madinah dalam masa terdekat berhubung kadar bilik penginapan dalam usaha mengawal atau mengurangkan kos menunaikan ibadah haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata kenaikan kadar hotel di Makkah dan Madinah adalah di luar kawalan kerajaan Arab Saudi dan perkara berkenaan dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Tawfiq Fawzan Al-Rabia kepadanya baru-baru ini.

"Beliau (Tawfiq Fawzan) berkata itu (kadar hotel) di luar kawalan beliau, dan (kita) kena tanya kepada pemilik-pemilik hotel di sana," katanya kepada media selepas Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan Bagi Tahun 2022, di Putrajaya hari ini.

Pada 16 Januari lepas, media melaporkan kos menunaikan haji secara muassasah tahun ini dijangka meningkat kepada lebih RM31,000, peningkatan kira-kira RM2,368 berbanding RM28,632 kos sebenar setiap jemaah pada musim lepas.

Ditanya kenaikan kos umrah sehingga RM10,000 ketika ini berbanding kira-kira RM7,000 sebelum ini, Mohd Na'im berkata perkara itu berkemungkinan turut disumbangkan oleh kenaikan kadar hotel di Arab Saudi.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), yang terlibat dalam kawal selia umrah, untuk mengadakan perbincangan dengan pengendali hotel di Arab Saudi berkenaan kadar penginapan di sana.