- Iklan -
Berita

2 kereta mewah, wang RM22,600 milik bekas peguam 1MDB diserah kepada kerajaan

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak ketiga iaitu OCBC Bank (M) Bhd untuk menuntut sebuah kondominium di Mont Kiara di Kuala Lumpur yang disita daripada Loo.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan Najib Razak arah laporan audit akhir 1MDB dipinda bagi membebaskan dirinya daripada sebarang jenayah, 3 Mac. Gambar: AFP
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan Najib Razak arah laporan audit akhir 1MDB dipinda bagi membebaskan dirinya daripada sebarang jenayah, 3 Mac. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kereta mewah dan wang berjumlah RM22,600 milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan.

Hakim Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan itu yang dibuat mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak ketiga iaitu OCBC Bank (M) Bhd untuk menuntut sebuah kondominium di Mont Kiara di Kuala Lumpur yang disita daripada Loo.

“Saya meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak dan saya memutuskan bahawa permohonan pihak ketiga untuk menuntut harta tak alih (kondominium) milik responden (Loo) yang disita pada 15 Februari 2021 dibenarkan.

“Manakala permohonan pendakwaan bagi melucut hak tiga lagi harta iaitu sebuah kereta Audi dan sebuah kereta Volkswagen New Beetle yang disita pada 27 Jan 2021 serta wang berjumlah RM22,600 dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik responden yang disita pada 2 Feb 2021 dibenarkan,” kata hakim itu. 

Prosiding itu turut dihadiri peguam Lim Jun Yik mewakili OCBC.

Pada November 2021, pendakwa raya memfailkan notis usul melucut hak dua kereta iaitu Audi dan Volkswagen New Beetle, wang berjumlah RM22,600 serta sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur milik Loo.

Loo dikatakan seorang daripada sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB serta disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui keberadaannya sehingga kini.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Loo, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.