- Iklan -
Berita

Laungan ‘keadilan untuk Najib’ diambang semakan keputusan SRC International

Kira-kira seramai 200 penyokong Najib tiba di perkarangan Istana Kehakiman seawal jam 7 pagi bagi menantikan ketibaannya dari Penjara Kajang.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Najib Razak berhimpun di depan Istana Kehakiman di Putrajaya bagi memberi sokongan kepada bekas perdana menteri itu untuk membatalkan sabitan kes SRC International, 19 Januari.
Penyokong Najib Razak berhimpun di depan Istana Kehakiman di Putrajaya bagi memberi sokongan kepada bekas perdana menteri itu untuk membatalkan sabitan kes SRC International, 19 Januari.

Laungan menuntut keadilan dan sokongan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak bergema di luar perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya sewaktu menunggu Mahkamah Persekutuan menyemak keputusan sabitan dan hukumannya membabitkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. 

Kira-kira seramai 200 penyokong Najib tiba di perkarangan Istana Kehakiman seawal jam 7 pagi bagi menantikan ketibaannya dari Penjara Kajang.

Seorang penyokong daripada gerakan Justice for Najib (JFN) Noriah Daud berkata hasratnya sepanjang empat tahun mengikuti perbicaraan kes tersebut mahu melihat keadilan diberikan kepada Najib terutamanya kejujuran pihak kehakiman tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

"Sebenarnya Bossku (Najib) tidak mahu dibebaskan tapi dia nak keadilan buat beliau.

"Apa yang kami minta (adalah) budi bicara tuan hakim yang bijaksana membicarakan kes Najib hari ini biarlah dengan cara telus.

"PM kita pun mengatakan biar secara telus," katanya kepada pemberita.

Sudah lebih dua jam Najib masuk ke kamar mahkamah untuk mendengar keputusan prosiding semakan tersebut.

Bagaimanapun, MalaysiaNow difahamkan prosiding masih belum bermula kerana pasukan peguam Najib diketuai oleh Shafee Abdullah sedang mempertikai Hakim Abu Bakar Jais sebagai panel hakim yang bersidang mengatakan beliau ialah hakim mahkamah rayuan.

Semakan tersebut didengar oleh panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah Sarawak Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Vernon Ong Lam Kiat, Rhodzariah Bujang dan Nordin Hassan.

Penyenaraian Abu Bakar adalah selaras dengan peruntukan Perkara 122(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai keanggotaan Mahkamah Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan seorang hakim Mahkamah Rayuan selain Presiden Mahkamah Rayuan boleh bersidang sebagai hakim Mahkamah Persekutuan jika Ketua Hakim Negara berpendapat bahawa kepentingan keadilan menghendaki yang sedemikian.

Berdasarkan permohonan yang difailkan sebelum ini, Najib memohon agar keputusan yang dibuat pada 23 Ogos 2022 oleh lima panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat disemak semula dan beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.