- Iklan -
Berita

Kerajaan digesa teruskan RUU kawalan tembakau

Ia merupakan satu daripada siri langkah 'segera' yang perlu diambil di tengah-tengah krisis dalam penjagaan kesihatan Malaysia.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen Centre memberi amaran tentang akibat tidak mengawal selia penggunaan vape dan produk berkaitannya, terutamanya untuk golongan muda.
Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen Centre memberi amaran tentang akibat tidak mengawal selia penggunaan vape dan produk berkaitannya, terutamanya untuk golongan muda.

Kumpulan kesihatan awam menggesa kerajaan meneruskan Rang Undang-undang (RUU) kawalan tembakau yang diperjuangkan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Mereka berkata, ia merupakan satu daripada siri langkah "segera" yang perlu diambil di tengah-tengah krisis dalam penjagaan kesihatan Malaysia.

Menurut Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen Centre, Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibincangkan oleh jawatankuasa khas Parlimen yang berusaha keras untuk mendengar pandangan semua pihak.

Mereka juga memberi amaran tentang akibat tidak mengawal selia penggunaan vape dan produk berkaitannya, terutamanya untuk golongan muda.

“Umur yang menggunakan vape semakin muda (kanak-kanak sekolah kini menggunakan vape), kepekatan nikotin di Malaysia sangat tinggi (5%) dan tidak terdapat di kebanyakan negara yang mengawal vape, kos vape adalah lebih rendah berbanding rokok menjadikannya tabiat yang menarik untuk diambil, dan ketagihan nikotin perlahan-lahan meningkat dan bukannya berkurangan.

"Bentangkan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau untuk dibahaskan dan diluluskan," katanya.

"Menghisap vape dan produk vape, yang turut dirangkum dalam undang-undang yang dicadangkan ini, perlu dikawal segera."

Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok 2022 bertujuan untuk melarang mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 daripada membeli atau memiliki produk rokok atau vape.

Ia bertujuan untuk mengelakkan generasi muda daripada merokok, dan mengurangkan kematian yang disebabkan penyakit berkaitan merokok.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib juga menggesa kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menangani apa yang disifatkannya sebagai "kerugian bakat besar-besaran" dalam sektor kesihatan.

Katanya, ini disebabkan beberapa faktor seperti ketelusan mengenai kontrak dan jawatan tetap, buli dan gangguan seksual, eksploitasi, keletihan serta suasana persekitaran tempat kerja yang teruk.

Beliau juga menyeru penyelesaian kepada isu kesesakan di jabatan kecemasan hospital, dan kebimbangan mengenai keselamatan kemudahan penjagaan kesihatan awam. 

"Sistem penjagaan kesihatan Malaysia memerlukan perhatian segera untuk menambah baik infrastruktur sedia ada, mengekalkan tenaga kerja, meningkatkan liputan dan kualiti penyampaian perkhidmatan, dan menangani pelbagai krisis yang sedang dialaminya sekarang," katanya.

“Sama ada kerajaan mengiktirafnya atau tidak, sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan kesihatan rakyat di negara ini kini berada dalam krisis.

"Pertambahan bilangan dan kerumitan orang yang menghidap penyakit tidak berjangkit, masa menunggu yang luar biasa lama di hospital, kekurangan tenaga kerja yang berterusan dan penghijrahan.

“Pesakit bergelut untuk mendapatkan akses penjagaan kesihatan yang diperlukan, serta isu pengamal kesihatan yang ‘burn-out’, semua ini merupakan gejala perkhidmatan yang sedang bergelut dan berada di ambang kehancuran.

"Ini bukanlah sesuatu yang diperbesar-besarkan tetapi realiti setiap yang dihadapi ramai pengamal perubatan dan pesakit setiap hari.”