- Iklan -
Berita

Di sebalik tabir kerja penyiasat persendirian

Seorang detektif persendirian menceritakan pengalaman yang ditempuhi dan apa yang mendorongnya terlibat dalam bidang ini.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi

Andy Suresh (bukan nama sebenar) pernah dikhianati bekas isterinya 20 tahun lalu apabila menjalinkan hubungan sulit bersama seorang lelaki di tempat kerja.

Kecewa dengan situasi tersebut Andy membuat rancangan rapi untuk mengekori dan berdepan dengan merpati dua sejoli itu.

Dia meminjam kenderaan rakannya untuk menjejak pergerakan isterinya dari pagi hingga malam, dia juga dibantu oleh rakan baiknya untuk mengambil gambar dari jauh sebagai bukti.

Selepas dua minggu, dia menghubungi ahli keluarganya untuk datang ke sebuah hotel murah di Kepong, Kuala Lumpur yang menjadi tempat isterinya dan lelaki itu meluangkan masa bersama.

Malam itu, kerja keras Andy membuahkan hasil kerana berjaya membongkar perbuatan isterinya kepada seluruh ahli keluarga.

Selepas itu, mereka berdua berpisah dan tidak lagi menjadi suami isteri.

Beberapa bulan berlalu, tanpa dia sedar namanya semakin dikenali dalam komuniti orang India di Kuala Lumpur yang mahu mengupahnya menjejak pasangan masing-masing yang dipercayai melakukan perbuatan sama.

Lebih dua dekad berlalu, Andy yang sebelum ini pemandu lori kedai perabot, kini menjadi salah seorang detektif persendirian yang terkenal di Lembah Klang.

Dalam satu pertemuan bersama MalaysiaNow, Andy mengenakan baju kemeja berjalur dengan sepasang seluar jean gelap.

Badannya tinggi, tegap dan berambut panjang cecah bahu.

Rambutnya hitam disulami dengan inai merah terang di bahagian tengah.

Di lehernya ada seutas rantai emas dan jam tangannya juga berwarna emas.

Jika dia tidak bercakap, dia akan ketawa.

Kebanyakannya, dia ketawa kepada kisah-kisah yang diceritakan sendiri.

Tanpa orang tahu, penampilannya yang sebegitu menyimpan banyak pengalaman dan tanggungjawab sebagai penyiasat persendirian di Malaysia.

“Saya tipu ramai orang tentang kerja saya termasuk anak-anak. Mereka fikir saya kerja pejabat kerana banyak kali perlu 'outstation'. Sampai satu hari, sebelum 2020, keluar muka saya di surat khabar di lokasi kes rogol dan pembunuhan.

“Saya pun terkejut juga, muka saya itu hanya sipi-sipi sahaja, tapi rakan-rakan masih boleh kenal. Mereka tanya, apa kau buat di situ? Saya terpaksa jujur dan ceritakan semuanya,” katanya sambil menambah dia juga berhubungan dengan pihak polis yang meminta risikan maklumat untuk kes jenayah.

Pada 2003, Andy  mendapat lebih 50 kerja upahan untuk menjejak pasangan suami isteri yang curang dengan paling jauh dia perlu terbang ke Indonesia untuk mendapatkan beberapa keping gambar sebagai bukti.

Kepakaran lelaki berusia 59 tahun itu sebagai detektif yang membongkar hubungan sulit pasangan suami isteri selari dengan situasi kegagalan rumah tangga masyarakat India di kawasan bandar.

Katanya, dia cepat mengenal pasti jenis “permainan” yang digunakan oleh pasangan curang menyebabkan hubungan itu cepat terdedah.

“Sekarang, faktor utama permainan curang adalah teknologi. Pasangan yang datang mencari saya kebiasaannya sudah berkahwin 10 hingga 20 tahun.

“Tetapi disebabkan teknologi, mereka mula mengikut trend anak muda yang banyak menggunakan Facebook, Instagram. Ada juga yang terjebak dengan aplikasi janji temu sehingga meminggirkan keluarga terlalu lama.”

Menurut Andy, kebanyakan penyiasat persendirian di Malaysia “berkampung” di Puchong, Selangor dan perkhidmatan itu dimonopoli oleh kaum India diikuti Cina dan Melayu.

Peringkat awal penglibatannya, Andy berkata syarikat yang menyediakan perkhidmatan tersebut amat sedikit dan tidak meluas.

“Agensi saya ditubuhkan pada 2007, dan mendapat lesen dari Kementerian Dalam Negeri tiga tahun selepas itu.

“Kini pejabat saya juga berada di Puchong bersama rakan-rakan lama yang saya kenal mula-mula kerja dulu.”

Katanya, agensinya kini mempunyai tiga penyiasat terlatih dengan seni mempertahankan diri dan ilmu asas penyiasatan daripada bekas-bekas pegawai polis yang dikenalinya.

Selain itu, dia juga menyediakan kelas asas undang-undang daripada pengamal undang-undang bertauliah.

Beliau turut meletakkan sebuah kereta untuk kegunaan penyiasat di pejabat, telefon bimbit dengan nombor peribadi setiap seorang dan kerani untuk melakukan kerja-kerja sumber manusia di pejabat.

Bagi perkhidmatan pula, agensinya pakar dalam mencari remaja yang hilang atau lari rumah.

Selain itu, pelbagai jenis risikan lain termasuk membuat semakan latar belakang individu atau profil orang kenamaan.

James Bond atau Jebon?

MalaysiaNow sempat mengikuti kerja di sebalik tabir Andy sebagai penyiasat persendirian.

Dia memandu dengan tenang dari Seksyen 7 Shah Alam ke sebuah kondominium di Setia Alam untuk mengekori seorang isteri yang disyaki mempunyai hubungan mesra dengan bekas abang iparnya.

Semasa memandu, dia menghubungi kliennya, iaitu suami wanita berkenaan untuk menunggu di lokasi yang ditetapkan.

Selepas wanita itu masuk ke bangunan kondominium, Andy tenang menunggu tindakan selanjutnya.

Selepas 20 minit, sebuah kereta peronda polis disusuli sebuah kereta Toyota Vios berwarna biru.

Kami semua turun dari kenderaan dan memasuki bangunan tersebut sebelum ke tingkat 11.

Di luar pintu, Andy berbisik dengan dua anggota polis berkenaan.

Kemudian, polis mengetuk pintu dan meminta semua penghuni yang berada di dalam untuk keluar.

Andy pula, sedang memeluk erat kedua-dua tangan suami wanita berkenaan dari belakang badan bagi mengelakkan serangan mengejut sewaktu pintu itu dibuka.

Beberapa saat selepas itu, koridor yang sunyi menjadi bising dan kecoh dengan jeritan suami mengeluarkan kata-kata kesat dan suara isteri menjerit ketakutan.

Selepas dua jam, semuanya selesai atas bantuan pihak polis.

Andy kembali ke keretanya untuk pulang ke rumah.

Dalam perjalanan, MalaysiaNow sempat tanyakan satu soalan;

“Bukankah kerja detektif persendirian sama seperti James Bond, kerana memikul tugas-tugas penting dan rahsia?”

Andy ketawa terbahak-bahak sebelum menjawab.

“Apa James Bond? Jebon betullah! Kami ini kerja, jumpa klien pun di kedai mamak sahaja bukan hotel lima bintang.

“Kami pun selalu kena tipu, lepas buat kerja bayaran tak dapat dah kena sekat di WhatsApp. Apa-apa pun tak dapat.”

Atas sebab itu, kata Andy, dia berpegang kepada satu prinsip yang membolehkannya bertahan lama dalam bidang itu. 

Dia mahu bekerja untuk membantu orang dan bukannya mendapatkan keuntungan semata-mata.

“Saya pernah berada dalam keadaan yang suram dan gelisah sebab ditipu pasangan. Anak-anak saya trauma dan tidak mahu ada ibu lagi sepanjang hidup mereka. Saya jumpa macam-macam kes dan aduan. Ibu yang hilang anak kerana lari rumah, anak hilang ayah sebab curang. Mereka ini hidup sengsara.

“Saya fikir tak mengapalah kalau ditipu bayaran, asalkan kerja saya untuk bantu mereka sudah selesai.

“Saya harap mereka juga dapat ketenangan dan kebahagiaan selepas kes selesai,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi