- Iklan -
Berita

Dalang jatuhkan kerajaan Sabah hanya tinggal satu peluang, kata penganalisis

Penganalisis berkata, jika peluang terakhir ini gagal, maka ia akan menjadi penamat kepada kerjaya politik Bung Mokhtar Radin dan Shafie Apdal.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Shafie Apdal.
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

Dua pemimpin yang dilihat menjadi dalang di sebalik rancangan menjatuhkan kerajaan Sabah hanya mempunyai satu lagi peluang, kata penganalisis merujuk kepada kemelut politik negeri di bawah bayu itu.

Ahmad Zaharuddin Sani Sabri berkata situasi itu menunjukkan kegagalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin dan Presiden Warisan Shafie Apdal membaca muslihat politik lawan.

"Mereka mengambil langkah yang salah," kata Zaharuddin.

"Satu-satunya perkara yang boleh mereka lakukan sekarang ialah mendesak supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat. Jika tidak, karier politik mereka tamat."

PRN Sabah sebelum ini diadakan pada 2020, berikutan kemelut politik yang berlaku di peringkat persekutuan.

Shafie yang juga ketua menteri ketika itu, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN yang menyaksikan parti Warisan dipimpin beliau tewas.

Krisis terbaru bermula selepas Bung Moktar mengumumkan Umno Sabah dan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Hajiji Noor sebagai ketua menteri pada 7 Januari lalu.

Beliau berkata pendirian itu dibuat kerana hilang kepercayaan kepada kedudukan Hajiji sebagai ketua menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dilanggar.

Bung Moktar berkata BN dan PN melaksanakan perjanjian membentuk kerajaan negeri selepas PRN Sabah, bagaimanapun Hajiji serta pemimpin Bersatu Sabah yang juga komponen PN, keluar parti menyebabkan kerajaan negeri sekarang tiada keabsahan.

Mengikut perlembagaan Sabah, ketua menteri mestilah seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada parti politik yang mempunyai sokongan majoriti dalam DUN.

Isnin lalu, Hajiji yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sendiri mendakwa mendapat sokongan 44 Adun, termasuk lima daripada BN – cukup untuk beliau kekal sebagai ketua menteri.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (tengah) bersama pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional selepas mesyuarat di Sri Gata, Kota Kinabalu, Isnin lalu. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (tengah) bersama pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional selepas mesyuarat di Sri Gata, Kota Kinabalu, Isnin lalu. Gambar: Bernama

Hajiji berkata dengan sokongan itu kerajaan negeri Sabah sedia ada masih kekal serta utuh, dan beliau masih ketua menteri pada masa ini.

Hajiji juga berkata beliau adalah ahli GRS secara langsung.

Bung Moktar, yang dipecat daripada jawatan timbalan ketua menteri dalam rombakan Kabinet negeri pada 11 Januari, kini diletakkan di bahagian pembangkang.

Beliau dan Shafie berkata mereka menyokong usul Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Zaharuddin berkata Bung Moktar harus memecat lima Adun Umno yang memberi sokongan kepada Hajiji.

Katanya, memandangkan undang-undang anti lompat parti masih belum diwartakan di Sabah, mereka mempunyai pilihan sama ada menyertai parti lain atau kekal sebagai Adun bebas.

“Mereka sedang bermain ‘catur’ di Sabah,” katanya.

"Umno dan BN akan terperangkap dalam situasi ini, begitu juga dengan Warisan.

"Ia adalah satu kelemahan bagi presiden Ahmad Zahid Hamidi dan isyarat jelas beliau tidak boleh mengawal Umno dan BN."

Beliau juga memberi amaran kemelut politik Sabah boleh menjejaskan reputasi Anwar bagi menghadapi enam PRN akan datang.

"Pakatan Harapan mungkin bergerak sendirian," katanya.

Sementara itu, bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang Azizi Safar berkata Bung Moktar memalukan rakan-rakannya serta Umno, kerana bertindak tidak selari dengan janji memberikan kestabilan kepada rakyat.

“Gerakan menjatuhkan Hajiji dibuat oleh Umno berikutan pemecatan Salleh Said Keruak daripada jawatan pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.

“Ia bukan kerana isu berkaitan kesejahteraan rakyat,” katanya.