- Iklan -
Berita

Umno tak halang ahli bertanding 2 jawatan tertinggi, kata ketua penerangan

Ketua Penerangan Umno Isham Jalil berkata setiap ahli mempunyai hak untuk bertanding seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Penerangan Umno Isham Jalil berucap pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Penerangan Umno Isham Jalil berucap pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Umno tidak akan menghalang ahli parti untuk bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden meskipun terdapat usul supaya dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan, kata Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil.

Beliau berkata, walaupun usul itu disuarakan 140 ketua umno bahagian, melebihi dua pertiga daripada jumlah keseluruhan 191 Umno Bahagian, ahli tetap mempunyai hak untuk bertanding jawatan tersebut seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Saya dengan Ahmad Maslan (setiausaha agung Umno) sudah buat kenyataan banyak kali bahawa kita tiada apa-apa cadangan untuk meminda perlembagaan supaya jawatan tidak dipertandingkan.

"Justeru, sesiapa nak bertanding, bertandinglah," katanya dalam sidang media sebelum melawat Laman Media di Perhimpunan Agung Umno 2022 di Kuala Lumpur.

Semalam, 140 ketua Umno Bahagian menyuarakan pandangan mereka supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian Umno, Mohd Shafie Abdullah berkata, ini supaya parti itu bersedia menghadapi pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung tahun ini di enam negeri.

Bagaimanapun, bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengecam gesaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu "kegilaan" dalam parti itu.

“Saya rasa presiden adalah seorang ‘fighter’ yang gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan," katanya.

"Jangan matikan demokrasi dalam Umno."

Pada masa sama, Isham turut berpandangan bahawa usul yang disuarakan Shafie mungkin untuk mengelakkan huru-hara dalam parti memandangkan Umno baru saja menyertai kerajaan perpaduan yang mana ia dilihat masih rapuh.

"Cadangan saya ialah mereka yang ingin bertanding umumkan awal.

"Jangan sorok-sorok atau cakap belakang saja. Ini tidak elok," tambah beliau.