- Iklan -
Berita

Konflik Sabah bukti Umno masih dengan cara lama

Penganalisis berkata Umno Sabah membuat keputusan sendiri berbanding mengambil langkah demi kepentingan awam.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berucap pada sidang media di Kota Kinabalu. Gambar: Bernama
Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berucap pada sidang media di Kota Kinabalu. Gambar: Bernama

Walaupun krisis politik terbaru di Sabah merupakan konflik tempatan, namun penganalisis berkata peranan Umno di sebalik krisis itu menunjukkan keinginan parti Melayu itu untuk mendapatkan kuasa.

Pergolakan di Sabah tercetus sekali lagi apabila ura-ura kerajaan negeri akan bertukar tangan, selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) beserta parti Warisan dikatakan berkomplot bagi menjatuhkan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bergegas ke negeri itu selepas melawat Indonesia. 

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut berlepas ke negeri itu bagi mencari jalan penyelesaian.

Anwar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya hanya datang memberi nasihat, dan selebihnya bergantung kepada pimpinan Sabah sendiri. 

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berkata, kemelut itu dilihat lebih kepada masalah dalaman antara pemimpin tempatan di Sabah. 

Bagaimanapun, Mazlan berkata tindakan Umno disifatkan sebagai mencolok mata.

"Pemerhati dan rakyat melihat Umno Sabah membuat keputusan bersifat peribadi dan bukan atas kepentingan rakyat," katanya kepada MalaysiaNow.

Penganalisis daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata kemelut itu boleh ditamatkan dengan pembentukan kerajaan perpaduan. 

Pada 6 Januari, pengerusi BN Sabah merangkap pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. 

Kerjasama antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan negeri dibuat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020.

Ini merupakan krisis politik kedua negeri itu selepas krisis pertama menyaksikan Mohd Shafie Apdal gagal mempertahankan jawatan sebagai ketua menteri. 

Hajiji yang ketika itu daripada Bersatu dilantik menggantikan Shafie selepas gabungan PN-BN berjaya menwaskan Warisan.

Menurut Bung, penarikan sokongan dibuat kerajaan negeri menamatkan lantikan politik daripada Umno dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Bagaimanapun, lima ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno mengekalkan sokongan terhadap Hajiji. 

Akibat cubaan menukar pemimpin yang gagal itu, Bung dipecat daripada menjadi timbalan ketua menteri. 

Menurut Mazlan, Umno Sabah juga mempunyai autonomi tertentu yang menampakkan ia terkeluar daripada kebiasaan. 

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, kemelut tersebut tidak menjejaskan Umno secara keseluruhan kerana ia membabitkan intra-parti dalam kerajaan campuran. 

Namun katanya situasi itu mampu berulang di peringkat persekutuan. 

"Di persekutuan, ia bergantung kepada bagaimana perdana menteri mampu menangani tuntutan intra-parti serta kemampuan parti-parti dalam kerajaan mengimbangi isu dalaman parti. 

"Inilah yang berlaku di Sabah apabila Hajiji tidak mampu melakukannya," katanya. 

Bagi Mazlan, konflik itu dijangka tidak “merebak” ke persekutuan. 

Bahkan, katanya mustahak untuk Sabah meniru model kerajaan campuran di persekutuan bagi mengekalkan kestabilan.