- Iklan -
Berita

‘Hentikan kegilaan ini’, KJ selar cadangan jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan

Bekas ahli Parlimen Rembau itu memberi amaran supaya demokrasi tidak dibunuh dalam Umno.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Bekas ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini mengecam gesaan agar jawatan tertinggi parti tidak dicabar pada pemilihan parti yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini, sehari selepas bermula perhimpunan agung Umno yang pertama selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menyelar cadangan lebih 100 pemimpin bahagian Umno supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, menyifatkan cadangan itu sebagai “kegilaan” yang melanda parti itu.

“Hentikan kegilaan ini,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.

“Saya rasa presiden adalah seorang ‘fighter’ yang gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan.

"Jangan matikan demokrasi dalam Umno."

Seramai 140 ketua bahagian Umno berkata semalam bahawa jawatan presiden, yang kini disandang Ahmad Zahid Hamidi, tidak perlu dicabar.

Mewakili kumpulan itu, Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian juga bersetuju supaya jawatan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Beliau berkata Umno perlu menumpukan perhatian kepada pengukuhan parti bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

Menurutnya, persetujuan itu disuarakan 126 ketua Umno bahagian yang hadir manakala 14 lagi memberi sokongan menerusi telefon.

“Semua telah bersetuju supaya jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata memandangkan keadaan Umno sekarang, adalah wajar jawatan itu tidak dipertandingkan.

“Kalau boleh dalam keadaan kita jatuh terduduk ini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain itu eloklah menang tanpa bertanding, kerana kalau bertanding sedikit sebanyak ia akan menyebabkan perpecahan,” katanya kepada pemberita selepasselepas perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata tetap  mempertahankan jawatannya jika dicabar pada pemilihan parti.

Pada 2018, Khairy menentang Zahid dalam perebutan jawatan presiden Umno.

Namun beliau tewas kepada Zahid dengan 61 undi daripada 191 undi bahagian dan mengatasi pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah yang masuk terakhir.