- Iklan -
Berita

Sukar bagi Sabah untuk ikut jejak Sarawak, kata penganalisis

Mereka berkata Gabungan Rakyat Sabah akan berdepan halangan dalam usaha mengikut jejak langkah Sarawak walaupun slogan 'Sabah untuk Sabahan' sudah lama wujud.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Gabungan Rakyat Sabah berkumpul di hari penamaan calon di Tawau pada 5 November 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15. Gambar: Bernama
Penyokong Gabungan Rakyat Sabah berkumpul di hari penamaan calon di Tawau pada 5 November 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15. Gambar: Bernama

Sabah mungkin berdepan kesukaran untuk mewujudkan blok yang terdiri daripada parti politik tempatan tanpa campur tangan dari semenanjung, kata beberapa penganalisis.

Mereka berkata, walaupun slogan "Sabah untuk Sabahan" sudah lama dilaungkan di negeri itu, pengaruh Umno dilihat masih kukuh dan sukar untuk mana-mana parti politik membentuk kerajaan tanpa kerjasama parti Melayu itu.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada September 2020 menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, Umno memiliki 14 kerusi diikuti Bersatu (11), STAR (enam) manakala PBS meraih tujuh kerusi. 

Hajiji Noor kemudiannya dilantik sebagai ketua menteri sebelum mengasas dan menjadi pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila entiti politik baru Sabah itu didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022. 

Bagaimanapun, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan baru-baru ini menyaksikan GRS mengambil pendirian sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan persekutuan disertai oleh BN.

Kemudian Hajiji berpandangan supaya parti dari Sabah dan Sarawak perlu dijadikan sebagai satu blok yang terdiri parti tempatan bagi mewakili rakyat Borneo.

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, berkata mungkin sukar untuk Sabah mengikut jejak Sarawak memandangkan pengaruh parti politik dari Semenanjung di negeri itu masih lagi kuat.

"Apabila Umno dan Bersatu masih bekerjasama, manakala pengaruh PAS pula semakin bertambah di Sabah, agak sukar untuk merealisasikan hasrat ini dalam masa terdekat.

"Justeru, situasinya hampir mustahil untuk Sabah ditadbir oleh parti tempatan pada masa hadapan," katanya kepada MalaysiaNow.

Kemelut politik

Baru-baru ini tercetus lagi kemelut politik di Sabah apabila Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin umum menarik sokongan terhadap pimpinan Hajiji apabila mendakwa beliau melanggar perjanjian kerjasama antara gabungannya dan GRS.

Ekoran pengumuman itu, ramai menjangkakan Presiden Warisan Shafie Apdal atau Bung Moktar bakal mengambil alih sebagai ketua menteri akan tetapi tidak berjaya kerana gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menurut Oh, kemelut politik ini dijangka tidak akan memberi impak signifikan dalam meruntuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, namun, GRS masih dianggap relevan memandangkan enam kerusi Parlimen yang dimilikinya masih dianggap berharga.

"Sudah tentu dalam suasana politik yang bergolak ini, setiap kerusi adalah penting untuk Anwar kekal sebagai perdana menteri.

"Tidak pasti sekiranya Muhyiddin Yassin akan terima kembali Hajiji atau rakan Parlimennya (yang mengubah kesetiaan), tetapi setiap kerusi yang diperoleh juga penting untuk beliau menjatuhkan Anwar.

"Oleh itu, Hajiji tetap boleh membentuk atau mengambil alih parti politik sedia ada untuk kekal relevan dengan mengambil kira ketetapan Akta Anti Lompat Parti," katanya.

Sementara itu, James Chin dari University of Tasmania Australia menyifatkan kemelut politik di Sabah sebagai perkara biasa dengan orang ramai berpandangan bahawa negeri itu ibarat "Wild West" untuk politik di Malaysia.

Terdahulu, kemelut politik di Sabah turut berlaku pada Mei 2018 apabila Shafie dilantik sebagai ketua menteri selepas Musa Aman hilang sokongan majoriti Adun.

Kemudian, situasi sama berlaku pada 2020 apabila Musa pula mendakwa berjaya meraih sokongan untuk menjadi ketua menteri namun Shafie mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada Julai tahun itu bagi membolehkan PRN berlangsung pada September.

Ditanya sekiranya perbuatan sama yang dilihat berlaku pada minggu lalu akan menimbulkan kemarahan rakyat, Chin berkata pandangan "orang kecil" ibarat tidak dipandang ahli politik di negara ini.

"Apa-apa boleh jadi, justeru rakyat tidak begitu meletakkan harapan.

"Malah, khabar angin untuk menggantikan Hajiji bukan perkara baru dan wujud sebelum PRU15.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.