- Iklan -
Berita

Agihan kerusi PN 80% siap untuk hadapi PRN, kata Hadi

Timbalan pengerusi PN berkata perbincangan agihan kerusi itu dibuat ketika Pilihan Raya Umum ke-15.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Persediaan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk pengagihan kerusi telah siap 80 peratus.

Timbalan Pengerusi PN Abdul Hadi Awang berkata perbincangan berkenaan telah diadakan bersama parti-parti komponen dalam gabungan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas.

"Persediaan untuk menghadapi PRN serta pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi asas perbincangan kami pada masa itu. 

“Boleh dikatakan 80% telah siap dan seterusnya kami akan perhalusi strategi untuk menghadapi PRN," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang malam tadi. 

Terdahulu Hadi yang juga presiden PAS mengadakan sesi dialog bersama pemimpin Gerakan termasuk Pengerusi Gerakan pusat  Dominic Lau dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Mengulas mengenai sesi dialog berkenaan, Hadi berkata ia bertujuan merapatkan hubungan antara parti itu dengan Gerakan serta memberi maklumat tepat kepada masyarakat khususnya yang bukan Islam termasuk isu Islamofobia.