- Iklan -
Berita

Ketua hakim negara selar cubaan jejas kebebasan badan kehakiman

Bagaimanapun, Tengku Maimun Tuan Mat berkata kritikan membina sememangnya dialu-alukan, namun bukan cubaan untuk menjejaskan badan kehakiman negara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat (kedua dari kiti) pada majlis di Putrajaya, 14 September 2022. Gambar: Bernama
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat (kedua dari kiti) pada majlis di Putrajaya, 14 September 2022. Gambar: Bernama

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini membidas mereka yang cuba memburukkan imej mahkamah dan menjatuhkan reputasinya dengan kritikan tidak adil, berat sebelah hanya kerana mereka tidak menyukai keputusan tertentu.

Bagaimanapun, beliau berkata kritikan membina sememangnya sentiasa dialu-alukan, namun bukan terhadap percubaan untuk menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

"Tahun lalu, percubaan untuk menakut-nakutkan atau memberikan tekanan tidak wajar terhadap hakim yang mengetuai kes-kes kepentingan awam menjadi semakin jelas. 

“Percubaan ini adalah satu penghinaan yang jelas terhadapkedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

"Mereka ini sememangnya patut dikutuk dan semakin ramai yang lantang menentang mereka. Tahun lalu, badan kehakiman menjadi sasaran serangan buruk ketika pendengaran kes berprofil tinggi tertentu," katanya dalam ucapan sempena pembukaan  Tahun Undang-Undang 2023 di Putrajaya hari ini.

Mengenai sistem keadilan jenayah, Tengku Maimun berkata liabiliti jenayah sentiasa ditentukan mengikut undang-undang yang terpakai dan kekuatan bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

"Mereka yang terbukti bersalah akan disabitkan dan mereka yang tidak dapat dibuktikan bersalah akan dibebaskan. Orang yang disabitkan bersalah akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan jenayah mereka, tidak lebih dan tidak kurang.

“Ini adalah tugas kami sebagai hakim, dan kami bertekad untuk melaksanakan tugas kami tanpa mengambil kira sebarang ancaman yang dibuat untuk menghalang kami daripada melaksanakannya.

“Maksud yang saya cuba sampaikan di sini, seperti yang sering saya lakukan sebelum ini, ialah kebebasan kehakiman tidak akan terjejas selagi kes diputuskan tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa niat jahat atau motif, tanpa sebarang tekanan luaran atau dalaman dan tanpa mengambil kira personaliti tertentu,” katanya.

Beliau berkata selagi setiap hakim komited terhadap prinsip-prinsip ini, dan bersatu dalam usaha menegakkan asasnya, beliau yakin kebebasan badan kehakiman akan dipertahankan.

Beliau seterusnya mengulangi bahawa hakim perlu tegas membuat keputusan serta menulis penghakiman mereka berlandaskan lunas undang-undang, dan bukan kata-kata yang hanya bertujuan mencari populariti.

“Kami menulis untuk memastikan orang ramai mengikuti perkembangan fungsi kehakiman dan bukan untuk mendapatkan pengesahan daripada orang ramai atau daripada mana-mana pihak lain. Jika hakim memutuskan sesuatu kes berdasarkan apa-apa selain daripada undang-undang atau fakta, maka dia membuat keputusan yang tidak betul di sisi undang-undang, dan apabila berlaku, hakim itu dilihat gagal menegakkan kebebasan kehakiman dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Tengku Maimun juga menggesa orang ramai membaca penghakiman secara menyeluruh sebelum merumuskan pendapat sendiri, dan meletakkan badan kehakiman kepada keadaan difitnah dalam sebarang bentuk.

Mengulas mengenai komposisi anggota Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, beliau berkata adalah penting bagi kebebasan kehakiman, bahawa proses pelantikan kehakiman harus kekal tidak berpolitik dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan dan pengaruh.