- Iklan -
Berita

Pakar ekonomi, mufti tepis kebimbangan berhubung penutupan pusat judi di Kedah

Mereka berkata langkah itu hanya memberi impak minimum kepada ekonomi negeri, memandangkan bilangan penduduk bukan Islam yang kecil di Kedah.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berdiri di hadapan sebuah premis judi. Langkah kerajaan negeri Kedah menutup kegiatan judi dijangka hanya memberi impak minimum kepada negeri itu.
Seorang lelaki berdiri di hadapan sebuah premis judi. Langkah kerajaan negeri Kedah menutup kegiatan judi dijangka hanya memberi impak minimum kepada negeri itu.

Keputusan Kedah untuk menutup operasi premis judi di negeri itu dijangka tidak akan hasil mendatangkan sebarang impak negatif atau menjejaskan pendapatan kerajaan negeri, kata pakar ekonomi.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah itu dipercayai hanya akan memberi impak minimum terhadap ekonomi negeri utara itu memandangkan golongan bukan Islam yang menetap di Kedah dianggarkan kurang daripada 300,000 orang.

Malah, katanya, daripada jumlah itu, mungkin kurang daripada 50,000 dikategorikan sebagai pelanggan pusat perjudian di negeri itu.

“Hasil daripada cukai taksiran dan permit perniagaan boleh digantikan dengan perniagaan lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Oleh itu, tiada impak kepada hasil kerajaan negeri dan pelabur tidak melihat industri perjudian sebagai penting di Kedah yang mana majoriti penduduknya adalah beragama Islam.”

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan penutupan operasi premis judi di seluruh negeri itu bermula Januari 2023 selepas kerajaan negeri memutuskan untuk tidak memperbaharui lesen operasi.

Langkah ini mengikut jejak daripada Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis masih belum membuat keputusan untuk melaksanakan tindakan sama.

Keputusan itu mengundang reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat yang mana golongan Islam terutamanya amat menyambut baik tindakan itu.

Bagaimanapun terdapat juga reaksi negatif daripada beberapa pihak termasuk parti DAP yang memohon supaya kerajaan negeri mempertimbangkan keputusan tersebut.

Menurut setiausaha DAP negeri itu, Teh Swee Leong, tindakan kerajaan negeri dijangka akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia mampu menggalakkan aktiviti perjudian haram.

Menjawab kepada ulasan ini, Sansusi dalam kenyataan terbarunya kekal dengan pendirian untuk hentikan operasi judi dan loteri di negeri itu meskipun ia mampu meraih jutaan ringgit.

Mengulas daripada aspek agama, Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata, tindakan itu adalah tepat dengan ajaran agama yang wajib dilaksanakan pemimpin Islam.

"Ya wajib. Ini bererti pemerintah wajib berhenti menguruskan perbuatan yang ditegah dalam agama Islam," katanya kepada MalaysiaNow.

Ditanya sama ada tindakan itu ibarat melanggar hak orang bukan Islam, beliau menjawab "Allah tidak menjadikan perkara haram sebagai hak kepada sesiapa pun".