- Iklan -
Berita

Shahrir Samad bebas pertuduhan gubah wang haram

Bekas pengerusi Felda itu diberikan pembebasan penuh oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad. Gambar: Bernama

Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad hari ini dibebaskan daripada tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima dari Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk pembebasan penuh bagi pertuduhan tersebut.

Shahrir didakwa melakukan pengubahan wang haram dengan tidak menyatakan pendapatan sebenar dalam borang nyata cukai pendapatan, melanggar Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, berhubung wang berjumlah RM1 juta yang dipercayai bersumberkan aktiviti menyalahi undang-undang, yang diterima dari Najib.

Cek tersebut dimasukkan ke akaun Public Islamic Bank Shahrir pada 28 November 2013.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 25 April 2014.

Pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.