- Iklan -
Berita

Orang kuat Anwar dilantik pengerusi 7-Eleven

Bekas pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Farhash menggantikan anak hartawan Vincent Tan, Robin Tan Yeong Ching yang memiliki pegangan 41.8% saham syarikat itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador.
Bekas pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador.

Syarikat kedai serbaneka terkenal 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd mengumumkan pelantikan orang kuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador sebagai pengerusinya berkuat kuasa semalam.

Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan Farhash menggantikan Robin Tan Yeong Ching yang juga anak kepada tokoh usahawan Vincent Tan yang memiliki pegangan 41.8% saham syarikat itu, selepas dilantik sebagai pengerusi pada 25 November 2021.

Terdahulu, dalam pengumuman berasingan, syarikat itu memaklumkan Tan meletakkan jawatan "untuk mengejar minat lain".

Berdasarkan maklumat syarikat itu kepada Bursa Malaysia, Farhash, 40, memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bidang perniagaan, perundingan dan nasihat.

"Farhash juga ialah dan pernah menjadi pengarah dan/atau pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.

"Beliau juga merupakan pengarah bebas bukan eksekutif Bluemont Group Limited (kini dikenali sebagai Southern Archipelago Limited) pada 2014 hingga 2016, sebuah syarikat senarai awam di Bursa Singapura," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Dalam pada itu, Farhash juga dilantik sebagai pengerusi eksekutif kumpulan Apex Equity Holdings Bhd pada minggu lalu, menggantikan Ahmad Redza Abdullah yang meletakkan jawatan pada September 2022 selepas dilantik pada tiga bulan sebelum itu.

Farhash yang juga bekas setiausaha politik Anwar dan pengerusi PKR Perak sebelum ini turut menarik perhatian apabila ditahan polis selepas dikehendaki bagi membantu siasatan kes berhubung kejadian serangan di sebuah Kompleks Sukan di Ampang pada 31 Ogos 2019.

Beliau ditahan ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Farhash juga sebelum itu pernah didakwa memukul dan mencederakan seorang bekas pembantu Anwar, Muhammed Yusoff Rawther.

Bagaimanapun, Farhash mengemukakan saman terhadap Yusoff kerana mendakwa bekas pegawai penyelidik PKR itu memfitnahnya.