- Iklan -
Berita

Buka saingan bagi 2 jawatan tertinggi dalam Umno, kata penganalisis

Penganalisis berkata sokongan pemimpin bahagian kepada Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi penentu pada pemilihan Umno akan datang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berucap pada perhimpunan parti itu pada Mac tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berucap pada perhimpunan parti itu pada Mac tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Penganalisis politik mengkritik cadangan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden, menjelang perhimpunan agung dan pemilihan Umno selepas parti Melayu itu menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim.

Azizi Safar berkata, faktor sokongan ketua Umno bahagian kepada Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi penentu kepada keputusan membuka persaingan dua jawatan itu.

"Berikutan dasar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan PH yang tidak lagi mahu meneruskan pelantikan politik bagi jawatan-jawatan dalam agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, maka tidak ramai ketua bahagian Umno yang akan 'mendapat habuan agihan harta rampasan perang' pada kali ini pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Masih bolehkah Zahid 'membeli sokongan' ketua-ketua Umno bahagian dengan tawaran jawatan-jawatan?" katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, Zahid mengumumkan pelantikan semula Ketua Umno Bahagian Machang Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra.

Namun pelantikan itu ditangguhkan perdana menteri.

Menurut Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, ia satu tamparan buat Umno.

Umno perlu mengadakan pemilihan parti dan perhimpunan agung dalam masa enam bulan selepas pilihan raya, menurut pindaan perlembagaan parti itu. 

Zahid menjadi presiden selepas menewaskan dua lagi pencabar, Khairy Jamaludin dan Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan 2018. 

Mohamad Hasan menang timbalan presiden menentang pencabarnya, Annuar Musa.

Timbalan pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed antara yang terbaru menyatakan bahawa kedua-dua jawatan tertinggi itu tidak perlu dipertandingkan. 

Katanya, ia bagi mengelakkan perpecahan dalam parti. 

Antara nama yang disebut-sebut menentang Zahid ialah bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein. 

Amalan tidak mempertandingkan jawatan tertinggi dalam Umno bermula pada zaman Dr Mahathir Mohamad selepas ia diharamkan dan didaftarkan semula. 

Kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan sehinggalah Anwar menentang Ghabar Baba bagi merebut timbalan presiden Umno. 

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata, berdasarkan sejarah Umno, parti itu dijangka berpecah jika berlaku pertandingan di peringkat tertinggi. 

"Parti itu kini meletakkan syarat memerlukan jumlah pencalonan yang cukup untuk bertanding jawatan tertinggi. 

“Sukar untuk sesiapa mencabar presiden dan timbalan. Mungkin ini cara Umno elakkan daripada berpecah-belah," katanya.

Menurut Mazlan, situasi sama dapat dilihat dalam PAS yang berpecah selepas pertandingan parti pada 2015, yang menyaksikan beberapa pemimpin meninggalkan parti itu dan membentuk Amanah.

Sementara itu, Azizi berkata, kerajaan pimpinan Anwar, yang telah menerima sokongan 148 ahli Dewan Rakyat masih boleh berdiri teguh sekali pun berlaku perubahan kepimpinan Umno pada pemilihan parti.

"Beberapa orang ahli Dewan Rakyat Umno akan tetap sokong Anwar Ibrahim jadi perdana menteri juga. 

“Kesetiaan dan sokongan anak murid dan kawan-kawannya kepada cikgu tidak akan berubah," katanya merujuk kepada audio rakaman perbualan antara Zahid dan Anwar yang menjadi tular sebelum ini.

Umno dan BN kalah teruk pada PRU15 dengan hanya memenangi 30 kerusi. 

Gabungan itu membentuk kerajaan campuran, sekali gus membelakangi keputusan perhimpunan agung Umno yang menetapkan “No DAP, No Anwar”.

Keputusan membentuk kerajaan juga dibuat tanpa berbincang dengan Dewan Tertinggi BN. 

Azizi berkata, mempertandingkan jawatan itu boleh menokhtahkan isu keabsahan jawatan dan kewajaran menyokong Anwar.

"Pertandingan jawatan menjadi satu referendum sokongan ahli-ahli akar umbi," katanya.