- Iklan -
Berita

Lonjakan percutian ‘camping’ dan ‘glamping’ selepas pandemik Covid-19

Lebih ramai keluarga memilih pengalaman menginap di tapak perkhemahan berbanding hotel.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Suhaida Mat Jusoh  memerhatikan salah seorang anaknya di tapak perkhemahan di Labis, Johor pada Julai 2022.
Suhaida Mat Jusoh memerhatikan salah seorang anaknya di tapak perkhemahan di Labis, Johor pada Julai 2022.

Sudah menjadi satu amalan bagi Suhaida Mat Jusoh dan suaminya membawa anak-anaknya bercuti setiap kali musim cuti persekolahan. 

Ini bagi memberi ruang kepada dua anak lelakinya yang berusia 11 dan sembilan tahun beriadah dan melepaskan tekanan daripada jadual belajar yang ketat. 

Hampir semua lokasi tumpuan di Semenanjung Malaysia sudah dikunjungi keluarga itu termasuk hotel dan resort ternama. 

Bagaimanapun, tradisi bagi keluarga Suhaida berubah apabila pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu. 

Rakyat di seluruh negara dilarang merentas negeri dan melakukan sebarang akitiviti sosial bagi mengekang penularan jangkitan virus berkenaan. 

“Apabila rentas daerah dibenarkan, saya dan suami mula membawa anak-anak bercuti di kawasan terbuka seperti pantai dan air terjun. 

“Ketika itu sektor perhotelan masih belum dibuka sepenuhnya menyebabkan tempahan sukar dibuat dan ada juga terpaksa ditunda kepada tarikh lain. 

"Sebabkan itu, suami muncul dengan cadangan, apa kata kita pergi ‘camping’? Permulaan tu kami sewa sahaja khemah sebab tak berani nak melabur duit beli keperluan kerana risau anak-anak tak berminat,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Percubaan untuk bermalam di tapak perkhemahan menimbulkan rasa keterujaan pada kedua-dua anaknya menyebabkan Suhaida dan suami mula meneroka lokasi-lokasi perkhemahan dalam negeri Johor melalui carian di media sosial. 

FB_IMG_1672408075669

Suami isteri dari Johor itu juga mula berjinak membeli keperluan asas seperti khemah, kerusi dan meja lipat selain barangan memasak sewaktu berkhemah. 

Sehingga kini, sudah masuk tahun kedua mereka menjelajah seluruh negara mencari tapak khemah untuk meluangkan masa bersama keluarga. 

Menurut isteri anggota polis itu, kira-kira RM10,000 hingga RM15,000 dibelanjakan untuk melengkapkan set keperluan barangan perkhemahan yang dimiliki mereka sekarang. 

"Mula-mula beli yang asas sebelum kita naik taraf beli keperluan lain. Barang-barang yang sebelum tu kita jual. 

"Memang jadi rebutan sebab semua mencari dan adakalanya barang tak ada stok. Bila nampak kita jual memang orang beli," katanya.

Pandemik yang melanda dua tahun lalu mencetuskan lonjakan dalam pembelian dan sewa rumah motor (campervan) selain peningkatan tempahan tapak perkemahan serta “glamping” ketika rakyat Malaysia bersemangat “membalas dendam” daripada kuarantin sepanjang perintah berkurung bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19. 

"Glamping" merujuk kepada aktiviti perkhemahan yang lebih eksklusif dan mewah yang mana pengunjung tidak perlu membawa dan membina khemah sendiri. 

Sebaliknya datang untuk bermalam di khemah-khemah yang sudah sedia dipasang oleh pusat perkhemahan. 

Perkembangan itu menyaksikan pandemik sekali lagi mengubah cara kehidupan masyarakat dunia dengan dengan menjadikan percutian tradisi seperti bermalam di hotel dan resort tidak lagi menjadi tumpuan utama. 

Mereka cenderung untuk menjadikan lokasi dengan aktiviti-akitiviti "outdoor" atau luar rumah sebagai pilihan. 

Sementara itu, beberapa pemilik perniagaan yang dihubungi MalaysiaNow berkata perkhidmatan tempahan perkhemahan dan glamping berlaku lonjakan besar dengan kira-kira 200% lebih sibuk daripada tahun lalu, ekoran trend semasa yang berkobar-kobar oleh rakyat Malaysia. 

Ini terutamanya, kata mereka, disebabkan pembukaan semula sektor pelancongan dan rentas negeri untuk aktiviti sosial secara sepenuhnya. 

"Tapak perkhemahan saya hanya di depan rumah pusaka keluarga. Ada enam tapak. Selalunya budak-budak universiti yang datang, ketika itu sebelum pandemik. 

"Sekarang tak menang tangan nak balas tempahan orang ramai. Ada yang datang dari Johor Bahru dan Kelantan sebab nak bermalam," kata Noor Farazila yang mengusahakan tapak perkhemahan persendirian di Hulu Langat, Selangor. 

Peniaga yang menyediakan alatan perkhemahan juga dilihat tidak menang tangan menguruskan pesanan para pelanggan. 

Bercakap kepada MalaysiaNow, seorang peniaga barangan perkhemahan di TikTok yang mahu dikenali sebagai Uncle Lim memberitahu barangan yang dijualnya boleh habis dalam masa empat hari sahaja. 

Selepas itu, dia perlu menghubungi pihak pembekal untuk menghantar stok yang baru. 

"Stok sampai pun lambat juga kerana bukan saya seorang sahaja yang perlu tambah stok di kedai. Ramai lagi. 

"Antara barang paling laku adalah khemah saiz sederhana, kerusi lipat, meja kecil, set berbeku dan pelbagai jenis dapur gas mudah alih. Ini barang susah sikit. Selalu habis," katanya. 

Sementara itu, seorang pengusaha sewa rumah motor (campervan) yang aktif bersiaran di TikTok juga berkata perniagaannya bukan sahaja berkembang tetapi semakin mendapat pujian ramai pihak. 

"Saya sudah buat bisnes ini sejak 2011 selepas balik dari Australia. Tapi masa itu tak ramai orang minat. Mereka fikir campervan hanya buang wang kerana bawa kereta sudah cukup. Nak tidur, boleh pergi hotel. 

"Kini sudah berubah, mereka sudah tidak berminat dengan konsep cuti pergi hotel. Campervan lebih menarik kerana boleh bermalam di mana sahaja kawasan yang mereka suka," kata Yusuf Bahri, salah seorang ejen jurujual campervan dari Subang Jaya. 

Suhaida bersetuju dengan kenyataan Yusuf mengatakan keluarganya kini sudah mula jemu dengan percutian ala resort. 

Katanya, aktiviti yang dilakukan melalui percutian itu amat terhad dan tidak menambah nilai kepada anak-anaknya. 

"Anak-anak sekadar pergi bermain kolam, kemudian naik ke bilik dan tidur. Kadang-kadang tengok TV, lepas tu makan." 

Namun, kata Suhaida, aktiviti sewaktu berkhemah lebih menarik dan mencabar apabila anak-anaknya boleh meneroka alam semula jadi dan bermain dengan rakan-rakan baru daripada keluarga lain yang datang untuk berkhemah di lokasi sama. 

"Dari pagi sampai petang, ada sahaja aktiviti. Bukan sahaja tak bosan, mereka pun tak reti letih." 

Menurut Suhaida, dia dan suami sudah pun merancang aktiviti perkhemahan keluarga bagi tahun 2023 yang bakal tiba tidak lama lagi. 

Katanya, Malaysia memiliki banyak tempat yang menawarkan keindahan alam semula jadi dan berbaloi untuk dijejaki bersama keluarga. 

"Sebagai persediaan, saya akan teliti dahulu keadaan cuaca dan tengok sama ada lokasi itu selamat atau tidak untuk anak-anak. 

"Kita juga perlu tahu tahap-tahap keselamatan yang ada di lokasi tersebut sebelum memulakan aktiviti perkhemahan."