- Iklan -
Berita

Banjir di Perak, Kelantan dan Sarawak makin pulih

Jumlah mangsa banjir di PPS semakin berkurangan di ketiga-tiga negeri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pusat pemindahan sementara ditutup selepas situasi banjir semakin reda. Gambar: Bernama
Beberapa pusat pemindahan sementara ditutup selepas situasi banjir semakin reda. Gambar: Bernama

Situasi banjir di Perak, Kelantan dan Sarawak semakin pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara  (PPS) malam ini berkurangan berbanding petang tadi.

Di Sabah dan Terengganu pula, jumlah mangsa yang berlindung di PPS tidak berubah berbanding angka yang dicatat pada sebelah petang.

Di Perak, bilangan mangsa banjir berkurangan kepada 42 orang membabitkan lapan keluarga setakat 9 malam berbanding 50 daripada 10 keluarga di daerah Hilir Perak pada 4 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melalui satu kenyataan memaklumkan semua penduduk Kampung Batu 7 1/2 Lorong Mesra dan Kampung Batu 7, Changkat Jong itu ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib (SMART). 

Di Kelantan, sebuah PPS di Pasir Mas ditutup malam tadi menjadikan hanya dua lagi masih beroperasi di jajahan itu membabitkan 31 mangsa iaitu 17 orang di Pusat Tarbiah Nasrullah Pohon Buloh manakala 14 lagi di Sekolah Kebangsaan Banggol Chicha.

Di Sarawak, JPBN memaklumkan hanya tujuh mangsa banjir masih ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Kampung Lutong di Sebuyau malam ini.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir di Besut  kekal 53 orang daripada 12 keluarga yang berlindung di PPS Masjid Kampung La.

Pegawai Pertahanan Awam Besut Kapten Ramlan Ros Wahid ketika dihubungi Bernama petang tadi berkata semua mangsa dijangka berada di PPS itu dalam tempoh yang lama kerana kebanyakan rumah mereka dihanyutkan banjir.

Di Sabah, mangsa banjir yang dipindahkan di Kota Belud kekal 135 orang daripada 56 keluarga dengan 62 individu daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan dan 73 orang daripada 30 keluarga berlindung di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Jumlah penduduk yang dipindahkan akibat fenomena air pasang besar sedikit berkurangan kepada 1,454 orang daripada 298 keluarga berbanding 1,471 orang dari 303 keluarga petang tadi.

Mereka ditempatkan di sebuah PPS di Sandakan (688 orang daripada 121 keluarga) dan enam PPS di Pitas (766 orang daripada 177 keluarga).