- Iklan -
Berita

2 PPS dibuka, Selangor antara negeri terbaru terjejas banjir

Sarawak dan Sabah turut terjejas banjir akibat hujan lebat berterusan di mana lima PPS dibuka di dua negeri Borneo itu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk kampung menarik papan sebagai rakit untuk membawa keluarganya meredah banjir di Kampung Sungai Melut, Dengkil pada 18 November.
Seorang penduduk kampung menarik papan sebagai rakit untuk membawa keluarganya meredah banjir di Kampung Sungai Melut, Dengkil pada 18 November.

Tiga negeri iaitu Selangor, Sarawak dan Sabah kini turut terjejas banjir menjadikan jumlah negeri dilanda banjir meningkat kepada lapan negeri, setakat 10 pagi ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali memaklumkan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di tiga negeri itu.

“Di Selangor, sebanyak dua PPS dibuka di dua daerah  (Petaling dan Kuala Selangor), melibatkan 57 mangsa yang terdiri daripada 18 ketua isi rumah; manakala di Sarawak, tiga PPS dibuka di dua daerah (Bau dan Kuching) melibatkan 104 mangsa dengan 28 ketua isi rumah.

"Selain itu di Sabah, dua PPS dibuka di satu daerah, Pitas melibatkan 222 mangsa dengan 37 ketua isi rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pengurusan banjir di daerah terlibat di ketiga-tiga negeri masih berada pada tahap satu iaitu di bawah kawal selia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masing-masing.

Bagaimanapun, Armizan berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat yang beroperasi 24 jam akan sentiasa memantau dan bersedia untuk sebarang pendekatan intervensi sekiranya diperlukan.

“Setakat ini sebanyak tujuh siri amaran hujan berterusan telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semenjak bermulanya monsun timur laut 2022/2023 pada 7 November lepas.

“Siri amaran ketujuh masih lagi berkuat kuasa dan luruan monsun kedua yang bermula 17 Disember 2022 dijangka berterusan sehingga 26 Disember 2022,” katanya. 

Menurut ramalan MetMalaysia, hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan, bermula hari ini.