- Iklan -
Berita

Amaran banjir di Pahang dan Johor

Banjir diramal berlaku di negeri itu pada pagi dan malam ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang wanita duduk di hadapan pintu rumahnya ketika banjir.
Gambar fail seorang wanita duduk di hadapan pintu rumahnya ketika banjir.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) semalam mengeluarkan amaran banjir bagi beberapa lokasi di Johor dan Pahang bermula esok sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku.

Ia adalah susulan amaran hujan berterusan (bahaya) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Di Johor, banjir diramalkan bermula 7 pagi di daerah Mersing membabitkan Sungai Melikai dan sekitarnya manakala pada 8 malam pula di Kampung Jemari, Pengkalan Batu dan kawasan sekitarnya.

Di Pahang diramalkan bermula pada 11 malam meliputi kawasan di daerah Rompin iaitu Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam dan kawasan sekitarnya.

"Banjir diramalkan berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan," menurut PRABN.

PRABN memaklumkan amaran tersebut dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan berkenaan berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter@JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut.