- Iklan -
Berita

Mangsa banjir Kelantan, Terengganu terus meningkat

Setakat ini, terdapat hampir 40,500 mangsa yang dipindahkan ke PPS di Terengganu dan lebih 31,000 mangsa di Kelantan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara keadaan banjir di pantai timur semenanjung. Gambar: Reuters
Pemandangan dari udara keadaan banjir di pantai timur semenanjung. Gambar: Reuters

Jumlah mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Pahang berkurang pagi ini.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,097 keluarga berbanding 39,311 orang daripada 10,937 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan kesemuanya sedang berlindung di 299 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.

Daerah Kemaman merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 9,147 orang yang ditempatkan di 30 PPS, Besut (8,536 orang, 88 PPS), Hulu Terengganu (5,893 orang, 49 PPS) dan Dungun (4,419 orang, 40 PPS).

Selain itu, di Setiu seramai 4,352 orang ditempatkan di 52 PPS, Kuala Nerus (3,597 orang, 16 PPS), Kuala Terengganu (2,777 orang, 12 PPS) serta Marang (1,735 orang, 12 PPS).

Berdasarkan laman sesawang https:publicinfobanjir.water.gov.my/, enam sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya termasuk Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman di Kemaman, Sungai Telemong di Kuala Ping di Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Langkap di Setiu.

Di Kelantan, seramai 31,487 orang daripada 9,055 keluarga berada di PPS pagi ini berbanding 31,313 orang daripada 9,005 keluarga malam tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di 140 PPS di lapan jajahan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok.

Sementara itu di Johor, jumlah mangsa banjir kekal 48 orang daripada 15 keluarga dengan dua PPS masih dibuka di Segamat.

Menurut JPBN kesemua mangsa adalah penduduk dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5, Segamat dengan 34 orang daripadanya berada di Balai Raya Kampung Batu Badak manakala 14 lagi di Dewan Komuniti Kampung Tasek. 

Mengikut data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Muar, Buloh Kasap di Segamat berada pada paras amaran dengan ketinggian 8.63 meter.

Di Perak, JPBN melaporkan situasi banjir tidak berubah dengan 54 orang daripada 17 keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Tiang Darat dan PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abd Rahman Talib.

Sungai Bidor di Changkat Jong, Hilir Perak masih merekodkan melebihi paras bahaya, melebihi 0.5m dari paras amaran dengan bacaan 3.27 meter setakat ini.

Bagaimanapun di Pahang, Sekretariat JPBN memaklumkan situasi banjir di Kuantan bertambah baik dengan hanya 221 orang daripada 62 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS pagi ini berbanding 484 orang daripada 113 keluarga di lima PPS semalam.

JPS melaporkan paras air Sungai Keratong, Rompin kekal melepasi tahap bahaya dengan trend menurun.