Amaran hujan berterusan di 4 negeri
MetMalaysia berkata beberapa kawasan di Sabah dan Labuan juga dijangka mengalami hujan dari Jumaat sehingga Isnin.
Terkini
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan di Terengganu, Pahang, Johor dan Kelantan yang dijangka berlaku sehingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata hujan lebat berterusan (peringkat buruk) diramalkan berlaku di Terengganu melibatkan kawasan Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman; Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; serta Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.
Hujan berterusan (peringkat waspada) pula dijangka berlaku di Kelantan; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu); Pahang (Jerantut dan Maran) serta Johor (Segamat, Batu Pahat dan Pontian).
MetMalaysia turut meramalkan hujan berterusan dijangka berlaku di Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang dari Jumaat hingga Sabtu ini.
Hujan berterusan juga dijangka berlaku di Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat, serta Wilayah Persekutuan Labuan dari Jumaat hingga Isnin ini.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.