- Iklan -
Berita

PPS dinaiki air, lebih 1,600 mangsa banjir terpaksa dipindahkan semula

Menurut Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa, proses pemindahan mangsa di sesetengah kawasan berdepan kekangan disebabkan banyak kawasan yang tidak pernah dinaiki air, turut dilanda banjir kali ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail seorang mangsa banjir duduk di pusat pemindahan sementara di Klang, Selangor.
Gambar fail seorang mangsa banjir duduk di pusat pemindahan sementara di Klang, Selangor.

Seramai 1,641 mangsa dari 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu terpaksa dipindahkan ke lokasi lain selepas PPS yang menempatkan mereka dinaiki air sejak semalam.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata ia melibatkan dua PPS di Kemaman, Besut dan   Hulu Terengganu masing-masing lima PPS, serta tiga PPS di Setiu.

Beliau berkata situasi luar jangka itu memberi sedikit kesukaran kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat untuk mengurus serta menjalankan kerja-kerja pemindahan mangsa selepas situasi banjir semakin buruk di negeri ini.

"Kita harap semua mangsa dapat bersabar kerana proses pemindahan mangsa akan mengambil masa. Kita sedang berusaha melakukan kerja-kerja berkenaan dengan pantas dan selamat," katanya selepas meninjau keadaan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkuk hari ini.

Menurut Rohaimi, selain masalah kekurangan aset berat, proses pemindahan mangsa di sesetengah kawasan terjejas banjir juga berdepan kekangan disebabkan banyak kawasan baru yang tidak pernah dinaiki air, turut dilanda banjir kali ini.

Justeru tumpuan utama diberikan kepada kawasan kritikal yang mempunyai pesakit kronik, ibu mengandung dan warga emas yang perlu pemindahan segera.

"Banjir kali ini berbeza kerana PPS pun tenggelam. Banyak kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini tenggelam dek banjir.

Kita punya cukup kekuatan dari segi tenaga anggota penyelamat daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), cuma perlu aset besar. Tetapi semalam kita dah dapat bantuan 16 buah lori lima tan daripada pihak pengurusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Timur untuk atasi masalah ini," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak daripada bermain air banjir kerana dikhuatiri disengat binatang berbisa.